PRK Kuala T’ganu: Amzad mampu raih majoriti lebih besar

- Advertisement -

MARANG: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Datuk Ahmad Amzad Hashim mampu memperolehi majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu 12 Ogos ini.

- Advertisement -

Semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, beliau yang memperoleh 63,016 undi memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan majoriti 40,907 undi.

Beliau menewaskan calon BN, Mohd Zubir Embong yang mendapat 22,109 undi, calon PH, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (10,946 undi) dan calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi).

Sehubungan itu, Penolong Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyeru jentera pilihan raya supaya bekerja dengan tahap maksimum.

“Kalau baru ni dapat sikit saja, (majoriti) 40,000 (undi), adakah boleh kita buktikan ke seluruh dunia kita mungkin boleh 50,000 atau 60,000 majoriti, insya-Allah,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Pengiytiharan Calon PN Terengganu di Dewan Tok Guru, Rusila malam tadi.

Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS menjelaskan PN tidak membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membatalkan keputusan pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15 lalu.

“Oleh kerana kita tak mahu membazir masa, kita PERIKATAN NASIONAL membuat keputusan tidak mahu merayu walaupun kita boleh lagi merayu,” katanya.

Menurutnya, jika merayu mungkin terpaksa menunggu masa enam bulan lagi sehingga menyebabkan rakyat Kawasan itu tidak mempunyai ahli parlimen.

“Kita PERIKATAN NASIONAL tidak mahu rakyat Kuala Terengganu terabai, tidak ada ahli parlimen, maka kita buat keputusan biarlah kalah (perbicaraan), kalahlah mahkamah isytihar batal, batallah, kita bersedia untuk menjalani pilihan raya kecil dalam parlimen kuala Terengganu. Insya allah, lebih daripada bersedia,” katanya lagi.

Turut berucap di hadapan para hadirin yang memenuhi dewan dan pekarangan Masjid Rusila itu ialah Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya PAS negeri, Senator Datuk Husain Awang. – HARAKAHDAILY 28/7/2023

- Advertisement -