Nik Abduh tolak disenarai calon, mahu tumpu urus sekolah

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS turut menyenaraikan nama bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun ditolak.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, anak Allahyarham Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, berlapang dada tidak bertanding pada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

- Advertisement -

“PAS ada menawarkan kerusi kepada Ustaz Nik Abduh, tetapi ditolak. Beliau kata tidak bertanding pun tidak mengapa, sebaliknya boleh fokus kepada sekolah agama yang diurusnya.

“Kita sudah berbincang dengannya dan beliau jelaskan komitmen dan istiqamah kepada parti tidak hanya perlu menjadi calon,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Kelantan di sini malam tadi.

Menurutnya juga dakwaan tidak mencalonkan Nik Abduh seakan mematikan legasi Allahyarham Tok Guru adalah tidak benar.

Sebaliknya kata beliau, PAS melihat ruang untuk Nik Abduh bergerak dalam politik masih luas dan tidak semestinya sebagai calon dalam pilihan raya.

“Nik Abduh tidak dicalonkan, itu tidak bermakna untuk matikan legasi Allahyarham Tok Guru kerana untuk meneruskan legasi bukan hanya perlu menjadi calon, sebaliknya perjuangannya yang perlu disambung.

“Kerana dalam politik ruangnya banyak dan besar, bukan untuk bertanding pilihan raya semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, memberi jaminan turut melibatkan Nik Abduh dalam pentadbiran kerajaan negeri jika PAS berjaya mengekalkan pemerintahan. – HARAKAHDAILY 28/7/2023

- Advertisement -