PAS terbukti pengawal keamanan, bukan pencetus provokasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli serta penyokong PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN) ternyata tidak mudah terpengaruh dengan provokasi cuba dicetuskan untuk mewujudkan suasana emosi dan ketegangan.

Setiausaha PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir mengakui kesabaran boleh ‘terusik’ menghadapi situasi sepertimana dialami Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Kerana menurut beliau, kejadian ke atas pimpinan PAS dan tokoh rakyat itu dilihat terlalu sukar diterima di mana berlaku secara tindakan di luar kewajaran sepatutnya dan amat keterlaluan.

Bagaimanapun pujinya, ahli-ahli serta penyokong PAS dan PN ternyata patuh kepada arahan pimpinan serta menghormati peraturan berkuatkuasa dan proses perundangan yang berlangsung.

“Penyokong serta ahli PAS dan PN tidak pernah mencetuskan huru-hara dan merusuh sebagaimana pihak lain. Kami tidak pernah derhaka atau mencabar kedaulatan Raja-raja Melayu.

“Pihak mana yang pernah berarak dan merusuh ke tengah jalan Kuala Lumpur Mei 1969?  Sehingga mencetuskan ketegangan kaum kerana mendakwa mereka menang PRU ketika itu?

“Pihak mana yang mengajak rakyat turun je jalan raya kerana mendakwa beliau dizalimi sehingga perusuh memusnahkan kenderaan Polis dan harta awam? Tapi hari ini mereka menuduh dan mengadu-domba PAS. 

“Yang ada rekod kotor mereka bukan kami. PAS melalui PN berjuang atas slogan Bersih dan Stabil, jangan tabur fitnah dan hasut rakyat,” ujar beliau menyifatkan ‘drama keganasan’ cuba ditimbulkan pihak tertentu sebagai gagal.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut pernah menyatakan mengenai gerakan ‘Reformasi’ yang dijadikan pencetus mendorong rakyat berdemonstrasi ke jalan raya dan bertempur dengan pihak keselamatan.

Termasuk katanya, menerusi gerakan BERSIH di mana menyedari hal tersebut, PAS telah bertindak menarik diri daripada NGO tersebut kerana mengelak daripada disalahgunakan bagi agenda mereka.

Sebaliknya sejarah merekodkan, para pemimpin dan petugas PAS pernah menjadi perantara dalam mendamaikan persengketaan atau pergaduhan termasuk rusuhan kaum pernah berlaku di negara ini.

Antaranya bekas Menteri Besar Kelantan, Almarhum Dato’ Mohd Asri Muda dan bekas Timbalan Presiden PAS, Almarhum Ustaz Hassan Shukri dalam peristiwa hitam tragedi 13 Mei 1969.

Dato’ Asri menghalang para pemuda dari Kelantan di mana telah bersiap sedia ke Kuala Lumpur melangsungkan pergaduhan yang terjadi, bahkan memberi jaminan keamanan kepada kaum Cina di negeri itu.

Manakala Ustaz Hassan atas permintaan Tun Abdul Razak Hussein telah berperanan meredakan tindakan para pahlawan Banjar dari Sungai Manik yang juga cuba bergerak ke Kuala Lumpur ketika itu. – HARAKAHDAILY 21/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -