Kontinjen UniMAP cemerlang di Indonesia

- Advertisement -

ARAU: Kontinjen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus melangkah cemerlang apabila berjaya meraih naib juara Karnival Varsiti IMT-GT ke-22 di Indonesia.

Penganjuran acara gilang-gemilang yang berlangsung selama tujuh hari itu telah diadakan di Universitas Syiah Kuala, Aceh, Indonesia. 

- Advertisement -

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Profesor Ts. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, UniMAP telah menghantar seramai 29 orang pelajar melibatkan penyertaan dalam acara sukan, seminar dan kebudayaan. 

Menurutnya, kontinjen UniMAP yang diketuai Pengarah Pusat Pembangunan & Perkhidmatan Pelajar (P3P), Prof. Madya. Ir. Dr. Mohd Arif Anuar Mohd Salleh itu berjaya memperoleh empat pingat emas – masing-masing dua emas pada acara seminar, satu emas bagi sukan tenis dan satu emas dalam acara kebudayaan.

“Persiapan untuk menghantar peserta ke penganjuran ini telah bermula dari bulan Mac 2023 melibatkan jabatan-jabatan yang berkaitan seperti Pusat Pembangunan & Perkhidmatan Pelajar (P3P), Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR) UniMAP dan Pusat Kebudayaan UniMAP,” ujarnya..

Tambah beliau,  penglibatan pelajar dengan program yang bertaraf antarabangsa ini adalah satu inisiatif terbaik ke arah memupuk persefahaman kebudayaan antara masyarakat berlainan bangsa dan agama daripada pelbagai negara.

“Ia menjadi bukti bahawa semangat perpaduan dapat ditonjolkan melalui pelbagai aktiviti walaupun terdapat perbezaan dari segi budaya, agama dan latar belakang.

“Melalui perbezaan itulah pelajar perlu menggunakan setiap ruang dan peluang untuk mencari titik persamaan, berkongsi  idea seterusnya mengeratkan hubungan sesama negara melalui kerjasama yang dijalankan di samping mengambil peluang untuk meningkatkan perkongsian idea dan persaingan sihat melalui kebudayaan dan sukan,” katanya  dalam satu kenyataan, di sini.

Karnival yang dianjurkan ini melibatkan penyertaan sebanyak 12 buah universiti yang mewakili Malaysia, Indonesia dan Thailand. 

Terdahulu, ahli majlis Karnival Varsiti IMT-GT telah bersetuju untuk memilih Malaysia bagi penganjuran edisi ke-23 yang bakal diadakan pada tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 20/7/2023

- Advertisement -