Menteri PH sibuk sentuh bidang kuasa menteri lain

Gagal beri fokus kepada portfolio kementerian sendiri

- Advertisement -

PADANG TERAP: Menteri-menteri Kerajaan PH-BN dilihat saling bercelaru apabila tidak memberi fokus kepada portfolio masing-masing tetapi sibuk menyentuh bidang tugas kementerian lain. 

Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azzamudden berkata demikian ketika menyampaikan Ceramah Isu-isu Semasa di UDM Kampung Belukar Luas, Naka, di sini kelmarin. 

“Jadi Menteri sampai tak ketahuan petak bendang (sawah) siapa (punya) pakat ikut redah (terjah) masuk petak orang (sewenang-wenangnya)?” persoal beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar membidas sikap itu. 

Menteri Dalam Negeri (KDN), Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail antara yang ditempelak Afnan berikutan membuat tuduhan kononnya Kerajaan Negeri Kedah menggunakan peruntukan wang MARRIS bagi tujuan lain. 

MARRIS iaitu Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia adalah peruntukan diberi Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan dan penyelenggaraan jalan-jalan seluruh negara yang diberikan melalui kerajaan-kerajaan negeri. 

Beliau kesal tuduhan yang cuba menggambarkan salah guna peruntukan wang kononnya dilakukan Kerajaan Negeri Kedah itu dilontarkan oleh seorang bertaraf Menteri tetapi dengan maklumat seolah-olah dikutip dari tepi jalan. 

Jelas beliau, semakan berkaitan penggunaan wang peruntukan Persekutuan sepatutnya dirujuk kepada Menteri Kewangan, manakala perkara berkaitan jalan raya seharusnya dengan Menteri Kerja Raya. 

“Menteri Dalam Negeri ni kerja dia apa? Dia jaga siapa? Dia jaga Polis, dia jaga agensi-agensi penguatkuasaan, Penjara, Imigresen bawah dia. Yang berlaku kecoh di KLIA itu, lapangan terbang airport semua itu bawah dia.  

“Kerja dia ialah jaga keselamatan, bukannya kerja dia pi duk semak duit pakai macam mana,” tempelak Afnan terhadap keghairahan ditunjukkan Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR mutakhir ini. 

Menurut beliau lagi, tuduhan berupa serangan kepada Kerajaan Negeri Kedah itu bertujuan mencalarkan reputasi cemerlang pentadbiran diketuai Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor agar dilihat hodoh dan buruk. 

“Menteri hat jaga TikTok kata jaga sat gi saya arah polis pi ambil di rumah. Dia Menteri jaga radio TV, jaga internet. Bukan Menteri jaga polis. Hat jaga polis Menteri Dalam Negeri itu. Bercelaru habis ini.  

“Hat Menteri jaga polis pi jaga bab duit ringgit. Hat menteri jaga penerangan suruh polis bertindak. Bersilang habis ini semua, kerajaan luar tabii,” bidasnya dipercayai ditujukan kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. – HARAKAHDAILY 17/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -