20 pelajar FKTM, Perlis raih tawaran kerja

- Advertisement -

ARAU: Seramai 20 pelajar tahun akhir dari Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal (FKTM), Universiti Malaysia Perlis meraih tawaran pekerjaan melalui  program perantis, Top Manufacturing Engineering Talents With Industries.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Profesor Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata program tersebut yang diadakan di Kulim, Kedah pada hari ini telah memberi peluang kepada pelajar tahun akhir untuk membentangkan projek tahun akhir mereka kepada pihak industri yang mengambil bahagian.

- Advertisement -

Menurutnya, program ini berjaya menarik pemain industri, penyelidik dan pakar dari domain kejuruteraan untuk hadir bagi menyaksikan sendiri projek yang dibangunkan oleh pelajar berbakat ini. 

“Seramai 27 pelajar terbaik telah terpilih menyertai program ini dan lebih membanggakan ialah 20 pelajar berjaya ditawarkan pekerjaan sebagai jurutera bermula September 2023.

“Para pelajar beruntung apabila ditawarkan pekerjaan dalam bidang yang sama semasa belajar di UniMAP dan program seperti ini dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan gaji yang ditawarkan agak setimpal. Hal ini selari dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi yang dinyatakan dalam pelbagai platform,” katanya.

Program tersebut diadakan di UniMAP@Kulim itu merupakan inisiatif penganjuran oleh Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Mekanikal (FKTM) UniMAP melibatkan sembilan pemain industri dalam bidang kejuruteraan.

Tambah beliau, perkara demikian menjadi berita baik dan menggembirakan buat pelajar tersebut memandangkan kesemua pelajar ini bakal menamatkan pengajian mereka pada pertengahan Ogos 2023.

Beliau turut  menekankan kepentingan untuk memperkasakan hubungan antara universiti dan industri serta  mengiktiraf program tersebut  sebagai peluang utama untuk pelajar terlibat secara aktif dengan profesional industri. 

Sementara itu, program sama turut dirancang untuk diadakan pada setiap semester dengan melibatkan semua penawaran program di UniMAP dan beliau mengharapkan agar penglibatan oleh pihak industri dapat digandakan. 

“Peluang ini membolehkan pemahaman yang lebih mendalam tentang aspek teknikal projek dan menyediakan platform untuk perbincangan yang bermanfaat antara pelajar dan bakal majikan.

“Sesi temu duga khusus ini membolehkan pihak majikan menilai kemahiran, kepakaran dan potensi kesesuaian pelajar dalam organisasi masing-masing,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 17/7/2023

- Advertisement -