Bergantung kepada Allah, ikhlas untuk menang PRN

- Advertisement -

TUAN Guru Dato’ Haji Hashim Jasin yang merupakan Mursyidul-Am PAS memberikan taujihat atau kata-kata semangat kepada ahli PAS melalui program Istighathah (meminta pertolongan daripada Allah) petang Jumaat (14 Julai) selepas dimulakan dengan bacaan Al-Ma’thurat.

- Advertisement -

Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin memuji Lajnah Tarbiah PAS Pusat yang mengadakan program pengisian seperti ini dalam kerja-kerja Islam yang jarang diberi perhatian oleh ahli. Program ini perlu dilihat sebagai satu keperluan untuk menguatkan jemaah PAS dati sudut kerohanian.

Dalam Pilihan Raya Umum ke 15 yang lalu, PAS/PN mendapat kejayaan yang mengejutkan semua pihak. Ia adalah suatu keputusan luarjangka. Kejayaan yang dicapai bukan bermakna pekerja/amilin kita bekerja lebih kuat, bertenaga berbanding dengan pekerja jemaah di masa lalu.

Kita tidak boleh berbangga bahawa ini adalah usaha kita berbanding dengan orang terdahulu. Kalau sifat ini ada dalam diri kita, dengan anggapan yang demikian, maka kita mesti bersihkan.

Kita akan berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos 2023 nanti.

Allah berfirman: يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اِنْ تَنْصُرُوا اللّٰهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ اَقْدَامَكُمْ

“Wahai orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Muhammad: 7)

Ertinya sudut bantuan dan pertolongan Allah amat penting dalam kerja jemaah. Jangan hanya bergantung dengan perancangan kita sendiri. Ia tidak membawa ke mana-mana melainkan apabila Allah tolong kita. Allah berfirman:

وَمَا النَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِندِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: Dan tidak ada kemenangan itu melainkan dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Anfal: 10)

Dalam satu peristiwa di zaman Umar Al-Khattab menjadi ketua negara, lebih kurang kisahnya:

Berlaku perang antara tentera Islam dan Rom. Tentera Islam menang walaupun bilangannya kecil. Di antara tentera Islam yang hadir, ada seorang yang amat miskin. Selesai perang, dia berjalan di padang pasir. Dia tersepak satu tabung. Dalam tabung tersebut, ada barangan yang sangat berharga. Dia membawa tabung itu, lalu berjumpa pimpinan tentera. Tabung itu diserahkan kepada pimpinan tentera. Tentera yang sangat miskin itu menceritakan kisahnya dan meminta pimpinan tentera itu menyampaikannya kepada Umar.

Pimpinan tentera itu tahu bahawa tentera itu miskin. Ditanya siapa namanya. Di mana beliau tinggal. Tentera yang miskin itu mahu tahu kenapa soalan itu ditanya. Pimpinan tentera beritahu kalau-kalau khalifah mahu memberi saguhati kepada tentera miskin itu kerana berjumpa benda yang berharga itu. Tentera miskin ini berkata: Saya datang ke medan perang bukan kerana benda berharga itu, tetapi saya berjihad kerana Allah.

Beliau tidak beritahu namanya dan tempat tinggalnya. Kalau dia mahu, dia boleh sahaja mengambil barang berharga itu, diletakkan dalam poketnya tanpa beritahu kepada sesiapa. Apatah lagi dia seorang tentera yang miskin. Namun, barang berharga itu mahu diserahkan kepada Umar. Umar diberitahu tentang tentera tersebut. Umar berkata: Alhamdulillah, Allah mewujudkan dalam kalangan tentera Islam seorang yang ikhlas dan jujur.

Dengan berkat jujur dan ikhlas inilah, tentera Islam mendapat kemenangan dalam perang dengan Rom itu. Dengan adanya niat yang ikhlas dari seorang dalam perjuangan ini, tidak mustahil semua akan dapat merasai kemenangan.

Kemenangan PAS/PN baru-baru ini dalam PRU15, sama ada disedari atau tidak, mungkin ada petugas parti yang jujur hatinya tanpa mengira pangkat yang tinggi atau tentera biasa sahaja tetapi lahir keikhlasan darinya. Hasilnya Allah beri kemenangan. Berkat kejujuran pekerja kita itu tanpa kita tahu siapa dia, pertolongan Allah datang selepas kita dapat melahirkan amilin yang berjuang dalam jemaah sehingga melayakkan kita menang.

Kita juga tidak boleh berkata berkata bahawa melalui susunan rapi, strategi yang dibuat, menyebabkan kita menang berbanding dengan amilin/petugas parti yang terdahulu dari kita. Mereka mungkin lebih ikhlas daripada kita, tetapi Allah mahu menguji kemenangan yang kita kecapi supaya kita tidak lupa kemenangan sebenarnya datang dari Allah.

Program lajnah tarbiah seperti program Istighathah ini menampakkan pergantungan kita dengan Allah. Allah boleh beri kemenangan kepada siapa yang Dia mahu. Kalau sifat kebergantungan kepada Allah ini menjadi sumber kekuatan kita, kalau kita menang besar, maka janganlah kita berbangga, lalu kita tinggalkan attawakkul/pergantungan dan i’timad/berpegang kepada Allah.

Sistem nilai kita juga kena betul. Kalau kita lihat kepada kes tentera miskin tadi, mungkin jika berlaku kepada kita, kita akan nilaikan barang berharga itu, dan mengambil saguhati darinya, tetapi Umar mempunyai tindakan tersendiri.

Untuk mencapai tahap ini sangat jauh. Walaupun begitu, contoh-contoh ini boleh dijadikan ikutan untuk kita. Kita berjalan di landasan yang betul dalam perjuangan. Dekatkanlah diri dengan Allah, insya-Allah Allah akan bantu kita.

Ulama haraki menggariskan kepada kita lima perkara. Kita mesti asak dan pasak dalam fikrah kita lima perkara di bawah:

1. Siapa yang menjadikan kita?

2. Kenapa Allah jadikan kita?

Jawapannya kembali kepada ayat al-Quran:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْاِنْسَ اِلَّا لِيَعْبُدُوْنِ

Maksudnya: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu.” (Az-Zariyat: 56)

Kita sebagai hamba-Nya, bukan tuan, tidak boleh derhaka kepada tuan.

3. Apa tugas dan tanggungjawab sebagai hamba Allah?

Jawapannya kembali kepada ayat:

وَلْتَكُنْ مِّنْكُمْ اُمَّةٌ يَّدْعُوْنَ اِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ

Maksudnya: “Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang yang beruntung.” (Aali Imran: 104)

4. Bagaimana hubungan kita dengan alam?

Lihat dua hadis berikut sebagai contoh:

i) seorang wanita masuk neraka dengan sebab tidak beri makan kepada kucing.

دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ في هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، ولَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِن خَشَاشِ الأرْضِ

Maksudnya: Seorang wanita masuk neraka dengan sebab seekor kucing yang diikat. Dia tidak memberinya makan. Dia juga tidak membiarkan kucing itu makan dari serangga, binatang di bumi. (Bukhari: 3318)

ii) seorang lelaki diampunkan dosanya kerana beri minum seekor anjing. Dalam hadis itu disebut, antaranya:

….فقالَ: لقَدْ بَلَغَ هذا مِثْلُ الذي بَلَغَ بي، فَمَلَأَ خُفَّهُ، ثُمَّ أمْسَكَهُ بفِيهِ، ثُمَّ رَقِيَ، فَسَقَى الكَلْبَ، فَشَكَرَ اللَّهُ له، فَغَفَرَ له

Maksudnya: Lelaki itu berkata: Anjing ini juga dahaga sepertiku’. Dia memenuhkan kasutnya dengan air. Dia menggigit kasutnya, kemudian memanjat naik dari telaga, lalu diberi minum kepada anjing. Allah membalas kebaikannya, lalu mengampunkan dosanya. (Bukhari: 2363)

Bagaimana kita berbuat baik kepada makhluk yang lain. Itu binatang. Bagaimana dengan yang lain?

5. Ke mana kesudahan kita?

Mereka yang boleh menjawab lima soalan ini, dia boleh menjadi insan yang soleh, yang sempurna. (Cuma tentulah jawapan itu dengan amalan, bukan sekadar jawapan di mulut)

Kita berada dalam jemaah Islam. Kita mesti menyempurnakan lima perkara di atas tadi. Walaupun matlamat yang kita mahukan itu masih jauh, tapi kita berada di atas landasan perjuangan yang betul.

Pimpinan parti kita kelihatan berbeza dari orang lain kerana kita ditarbiah dengan Islam.

Kita tidak meletakkan dunia sebagai matlamat. Kita letak keredaan Allah itu yang utama.

وَقُلِ اعْمَلُوْا فَسَيَرَى اللّٰهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُوْلُهٗ وَالْمُؤْمِنُوْنَۗ وَسَتُرَدُّوْنَ اِلٰى عٰلِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُوْنَۚ

Nik Muhammad Nasri Nik Malek

Maksudnya: “Dan katakanlah: ‘Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga rasulNya dan orang mukmin, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (At-Taubah: 105) – HARAKAHDAILY 15/7/2023

Penulis adalah Timbalan Pengerusi Lajnah Tarbiah Badan Perhubungan PAS Terengganu.

- Advertisement -