Kerjasama DAP: PAS tak terikat, Umno pula wala’

Sanusi jelaskan hubungan dilakukan tersebut tidak serupa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mempunyai hubungan dengan DAP suatu ketika dahulu tidak serupa sebagaimana Umno bersama DAP sekarang ini, demikian kata Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor. 

Menurutnya, PAS hanya mengadakan kerjasama politik secara bersyarat dan tanpa terikat dengan DAP, tetapi Umno dilihat sudah memberikan wala’ atau kepatuhan kepada parti tersebut. 

Beliau memberitahu, kerjasama PAS dengan DAP itu dimeterai dengan perjanjian ditandatangani kedua pihak antaranya DAP tidak akan menghalang PAS melaksanakan Negara Islam. 

“Kita bekerjasama dengan DAP pada (tahun) 2002. Bila DAP kata ‘langkah mayat saya dulu untuk melaksanakan Islam’. Kita, BA (Barisan Alternatif) putus, DAP keluar. No problem!.  

“Masa itu zaman (Almarhum Dato’) Ustaz Fadzil (Mohd Noor), bukan (Tan Sri) Tok Guru Haji Abdul Hadi (Awang). DAP keluar pada BA. Lepas itu dia terima balik perjuangan kita. Masuk Pakatan Rakyat (PR). 

“Kita prinsip kita tak pernah goyang, tak pernah digadaikan untuk bekerjasama dengan dia. Kalau you tak boleh terima dasar kita, you out. Kita pecah dengan DAP balik pasal dasar. 

“Pasal wala’ tadi itulah. Kita tak boleh beri wala’ kepada DAP. Sampai hang ganggu kami punya perjuangan dasar, perkara-perkara asas,” ujar beliau menjelaskan ketegasan PAS. 

Terangnya, keputusan atau pendirian PAS mengenai kerjasama mahupun pembatalan itu dibuat dengan sandaran atau rujukan jelas dari al-Quran, al-Hadis, ijmak dan qiyas. 

Sanusi mengakui perbezaan tersebut belum difahami ramai orang, namun beliau yakin lambat laun ia akan difahami kerana ianya sebahagian perjuangan untuk diperjelaskan kepada rakyat. 

“Apakah syarat-syarat untuk mengadakan kerjasama dengan parti yang menentang Islam macam ini? Yang tidak bersetuju dengan perkara-perkara asas yang ada.

“(Dia) kata Malaysia ini sebuah negara sekular, di dicatat dalam Perlembagaan dia. Yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan Islam mengawal kehidupan, etika moral rakyat,” ujarnya. 

Sedangkan katanya, Perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama rasmi dan tafsiran kepada Islam mesti dibuat dengan tafsiran Islam dan bukannya tafsiran sekular. – HARAKAHDAILY 13/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -