Masyarakat kaum Cina perlu berani buat perubahan

Halang DAP cipta permusuhan dengan kaum Melayu

- Advertisement -

MENURUT Portal ‘Malaysia Now’ yang dipetik dari China Press, Lim Guang Eng kini sudah berani membuat kenyataan dan memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ (PAS) daripada bertapak di negeri itu dengan mengatakan bahawa PAS boleh mengakibatkan Tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan-Islam berdepan dengan pelbagai sekatan.

Umum mengetahui bahawa DAP adalah sebuah parti yang mewakili masyarakat Cina di Malaysia walaupun DAP menafikan dengan menggunakan Perlembagaan Parti DAP sebagai alasan dan meletakkan beberapa calon Melayu mewakili kerajaan, namun strategi tersebut tidak mengubah persepsi masyarakat Melayu dalam beranggapan DAP adalah parti bukan-Bumiputra.

DAP perlu sedar bahawa masyarakat Melayu di Malaysia terlalu baik sehingga DAP boleh menjadi kerajaan dan dilantik menjadi Menteri Kabinet serta memerintah Negeri Pulau Pinang tanpa ada sebarang provokasi daripada masyarakat Melayu.

PAS adalah sebuah parti yang memperjuangkan kemerdekaan pada tahun 1951 dan mewakili masyarakat Melayu Islam dalam menyampaikan suara rakyat di Parlimen.

Berbeza dengan DAP yang ditubuhkan pada 1966 selepas Merdeka telah mengambil kesempatan hasil usaha orang-orang Melayu memerdekakan Tanah Melayu dan akhirnya DAP berjaya mendoktrinkan segelintir pemikiran orang Melayu yang mana kononnya DAP adalah sebuah parti yang bersih dan mampu membantu masyarakat Melayu.

Islam adalah agama penyelamat, mana-mana bangsa dan agama yang berada di bawah pemerintah Islam pasti akan selamat kerana Allah S.W.T berfirman surah Al Ma’idah ayat 8:

- Advertisement -

يَٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءآمَنُوا كُونُوا قَوّٰمِينَ ِللهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah disebabkan kebencian kamu terhadap suatu kaum, membuatkan kamu tidak berlaku adil. Hendaklah kau berlaku adil, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Hal ini jelas bahawa umat Islam diwajibkan menjaga keharmonian dan keselamatan semua rakyat termasuk orang bukan-Islam.

Kenyataan Lim Guan Eng adalah satu episod mencetus api kemarahan umat Islam di Malaysia, dan masyarakat Cina wajib membuat perubahan untuk menolak DAP bagi memastikan hubungan baik masyarakat Bumiputera dengan orang Cina tetap terjaga. Selagi DAP masih mendapat tempat dalam kerajaan selagi itulah orang-orang Melayu Islam akan terancam dengan tindakan DAP yang mewujudkan permusuhan dengan masyarakat Cina.

Ayuh seluruh rakyat Malaysia, kita lakukan perubahan untuk merobohkan doktrin permusuhan yang telah dibina oleh DAP serta memadamkan persepsi orang Melayu selama ini bahawa DAP adalah parti yang mewakili masyarakat Cina. Inilah tanggungjawab kita dalam memastikan negara ini tetap aman dan harmoni.

MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya PAS
Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 12/7/2023

- Advertisement -