PRN: Jika rakyat bersatu, Putrajaya akan turut bertukar

- Advertisement -

JEMPOL: Tan Sri Annuar Musa menyarankan ahli dan pemimpin Umno memberikan undi kepada PERIKATAN NASIONAL dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

- Advertisement -

Menurut bekas Setiausaha Agung Umno itu, politik negara perlu diperbetulkan dengan rakyat bersatu padu memberikan mesej yang jelas menolak kerajaan madani yang gagal dalam menguruskan negara.

“Rakyat kena berikan signal yang jelas termasuk rakyat di Jempol. Rakyat di Jempol tidak cukup orang Bersatu dengan PAS sahaja. Kena bersama-sama orang Umno.

“Nak duduk dalam Umno, duduklah. Nak jadi ketua cawangan, jadilah. Nak jadi AJK bahagian, jadilah. Masa pangkah, ramai-ramai pangkah tu pangkah PERIKATAN NASIONAL. Selesai. Sebab nak reset politik ni untuk kita semua,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam program ‘Pelancaran Jentera Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL Negeri Sembilan bagi DUN Serting dalam Parlimen Jempol.

Turut berucap dalam majlis yang sama ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan dan Johor, Rafiei Mustapha dan Ustaz Abdullah Husin serta Pengerusi Parti Gerakan Jempol, Datuk Puar Er Cheng.

Tambahnya, rakyat kini sedang menanti suatu perubahan atau reset politik di tengah-tengah masalah kos sara hidup yang tinggi.

“Politik kini di luar tabii. Politik sekarang songsang. Yang menang banyak jadi pembangkang. Yang menang sedikit kerana manipulasi, larikan penyokong, jadi kerajaan. Ini politik songsang. Tidak akan stabil, buatlah nama apa sekalipun, Perpaduankah, Madanikah, Madanonkah, ia tidak akan stabil.

“Pilihan raya ini kita perlu betulkan politik ini. Ya, pilihan raya negeri, bukan pilihan raya Pusat. Kita mulakan dengan negeri dulu. Insya-Allah kalau rakyat tunjukkan rakyat bersatu padu tolak kerajaan pimpinan Perdana Menteri ke 10, insya-Allah Putrajaya juga akan turut bertukar hujung tahun ini,” ujar beliau.

Beliau turut mempersoalkan di pihak manakah mereka yang dahulu Pakatan Harapan (PH) tuduh sebagai penyamun dan kleptokrat.

Annuar juga membangkitkan pertanyaan di pihak manakah mereka yang dahulunya Umno tuduh sebagai ‘kaki kencing’.

“Apa saja gelaran. Sekarang apa nak marah dengan PERIKATAN NASIONAL? Dulu PH kempen tolak ‘kaki sakau, ‘hoi hoi ya hoi siapa sokong penyamun’. Sekarang penyamun duduk dekat mana? Duduk dekat PN kah atau dekat Kerajaan Perpaduan?

“Yang dia ejek-ejek sebagai ‘penyamun” ada dengan kitakah atau ada dengan Kerajaan Perpaduan? Ada dengan Kerajaan Perpaduan. Dalam PRU15 DAP berkempen ‘kita menentang kerajaan kleptokrat!’ Kleptokrat duduk dengan kitakah atau dengan mereka?

“Datang pula Ahmad Maslan kata ‘kalau tuan pergi memancing, jangan lupa membawa umpan, kalau tuan tak mahu dikencing, jangan undi Pakatan Harapan’.  Pakatan Harapan duduk dengan kitakah atau dengan dia? Dengan dia,” ujar beliau.

Beliau turut menyindir bahawa ‘perpaduan’ yang menjadi jenama PH-BN adalah perpaduan yang mengumpulkan ‘kleptokrat’ dan ‘kakhistokrat yang tidak wujud dalam gabungan PERIKATAN NASIONAL.

“Bercakap sebelum jadi kerajaan mudah. Sebelah sana apa yang tak ada? Pakar strategi, pakar formula. Mana pergi pakar formula sekarang? ‘Dalam satu hari sudah boleh tengok hasil’, ini dah lapan bulan tuan. Dah nak bentang bajet kali kedua dah kerajaan ini.

“Mana pergi pakar formula? Kenapa formula tak dibawa? Harga barang terus naik; duit Ringgit terus jatuh; pelabur terus  lari;  pasaran saham paling buruk dalam sejarah; tak lama lagi bil elektrik nak naik; harga beras pun nak naik; segala-gala nak naik. Tuan-tuan nak pangkah lagi kerajaan yang macam ini?

Tambah Annuar, beliau berpengalaman menjadi menteri kepada lima perdana menteri dan hakikatnya untuk menjadi kerajaan tidak semudah yang disangka tidak seperti mereka yang sering bercakap besar bahawa mereka lebih bijak. – HARAKAHDAILY 11/7/2023

- Advertisement -