Kelantan dibantu jentera pilihan raya PAS KL, Sarawak

- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS Kelantan akan dibantu jentera pilihan raya dari PAS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL), Sarawak dan beberapa kawasan di Pahang bagi memantapkan gerak kerja kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

- Advertisement -

Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata perkara itu diputuskan PAS Pusat bagi membantu jentera pilihan raya PAS Kelantan.

Katanya tenaga kempen dari negeri-negeri tersebut akan membantu gerak kerja kempen dan pelbagai lagi sehingga hari mengundi.

“Dalam tempoh sebulan sehingga pilihan raya berlangsung, jentera kita sentiasa fokus dan bertungkus lumus untuk memastikan kejayaan Pilihan Raya Umum (PRU) 15 peringkat parlimen diulangi semula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis taujihat petugas Media Point di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Media Point Kamaruzaman Mohamad dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar Mohd Khairul Padli Baduldin.

Enam negeri terbabit dengan PRN pada 12 Ogos ini iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Wan Roslan yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, Bersatu bersetuju menyerah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing di parlimen Gua Musang dan Jeli kepada PAS.

“Jadi sekarang PAS akan bertanding di 39 kerusi Dun dan Bersatu pula di enam kerusi Dun,” katanya.

Pada PRU14 Umno menang di tujuh kerusi Dun iaitu Kok Lanas, Kuala Balah, Bukit Bunga, Gual Ipoh, Galas, Paloh dan Nenggiri. Manakala Bersatu menang di Dun Ayer Lanas. – HARAKAHDAILY 10/7/2023

- Advertisement -