PAS sedia hadapi PRK Parlimen Kuala Terengganu

Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerima 30 borang bekas pemimpin dan ahli Umno menyertai PAS.
- Advertisement -

KOTA BHARU: PAS tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu yang diputus Mahkamah Pilihan Raya Terengganu baru-baru ini.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, meski pun keputusan mahkamah tersebut tidak menyebelahi PAS, namun pihaknya bersedia menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Katanya Perikatan Nasional (PN) tidak akan membuat petisyen bagi mempertikaikan keputusan pilihan raya walaupun jumlah undi membabitkan parti yang mewakili kerajaan tidak begitu besar.

“Kes Kuala Terengganu kita tidak akan merayu, kita sedia menghadapi pilihan raya sekali lagi. Kita kalau nak pertikaian keputusan boleh sangat, Presiden Umno pun menang 300 undi kita tidak buat petisyen pun, sedangkan di Kuala Terengganu kita menang lebih 30,000 mereka masih tidak puas hati lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Dialog Isu Semasa anjuran PAS Kota Bharu yang diadakan di Kota Bharu Trade Center (KTC) malam tadi.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut menyatakan bahawa Kerajaan Madani menggunakan jentera kerajaan untuk memberi gambaran kononnya pimpinan tertinggi PN melakukan salah guna kuasa.

Beliau berkata, petisyen yang dikemukakan pihak lawan membabitkan beberapa kawasan parlimen di Kelantan, Terengganu dan Melaka sebenarnya cuba mengambarkan penyelewengan dilakukan PN.

Begitu juga kes membabitkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Hamzah Zainudin cuba digambarkan mereka menyalahguna kuasa semasa pemerintahan PN.

“Bila PN gunakan slogan PN Best, mereka cuba bawa Tan Sri Muhyidin ke mahkamah, begitu juga Dato Seri Hamzah sebagai strategik untuk memburukkan PN,” katanya.

Baru-baru ini Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan calon PAS Dato Ahmad Amzad Hashim dengan alasan berlaku kes sogokan.

Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril pada keputusannya memberitahu pihak pempetisyen, calon BN Datuk Mohd Zubir Embong berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku bagi mempengaruhi pengundi pada PRU15. – HARAKAHDAILY 7/7/2023

- Advertisement -