Tolak Umno elak DAP kuasai politik negara

- Advertisement -

BACHOK: Umno dan Barisan Nasional (BN) bukan lagi menentukan kuasa politik di negara ini selepas hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

- Advertisement -

Bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata, sekarang Umno terpaksa mengharap ihsan Pakatan Harapan (PH) biar pun tahu pakatan itu didominasi DAP.

Katanya pada PRU15 Umno masih mendapat simpati orang Melayu kerana dengan jelas menyatakan menolak DAP dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

“Pada PRU15 Umno masih lagi mendapat 26 kerusi dengan sokongan pengundi Melayu kerana ketika itu melaungkan slogan ‘No DAP, No Anwar’.

“Malangnya selepas PRU15 Presiden Umno tidak menghiraukan slogan tersebut sebaliknya bekerjasama dengan Anwar dan DAP. Sedangkan kita tahu perjuangan DAP menuntut hak sama rata dan menghapuskan hak istimewa bumiputera.

“Bagi mengelakkan orang Melayu terperangkap dengan agenda DAP, ahli dan penyokong Umno hendaklah menolak parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 8 Ogos ini,” katanya ceramah Ppakat Pertahan Kelantan di pekarangan Kompleks Pendidikan Islam di sini malam tadi.

Hadir sama Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Muhamad, Yang Dipertua (YDP) PAS Bachok Dato’ Hassan Mohamood, ahli parlimen Bachok Shahir Che Sulaiman, Timbalan YDP Abdul Azziz Kadir, Naib YDP Mohd Huzaimy Che Hussin.

Turut hadir bekas ahli parlimen Bachok Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz, Ketua Bersatu Bachok Dato’ Nasir dan bekas Pengarah Pendidikan Kelantan Dato’ Aziz.

Annuar juga berkata, agenda perjuangan DAP sebagai kesinambungan Parti Tindakan Rakyat (PAP) sudah disedari Tunku Abdul Rahman apabila mengambil langkah mengeluarkan Singapura daripada Tanah Melayu pada 1965.

“Langkah serupa juga diambil Tun Razak apabila mengundangkan pelbagai parti termasuk PAS dan Gerakan menyertai Perikatan pada 1973 bagi menyekat kemaraan DAP.

“Ketika orang Melayu bersatu selepas peristiwa 13 Mei 1969 DAP tidak berupaya bangkit selepas itu,” ujarnya.

Bagaimanapun kata beliau malangnya pemimpin Umno sekarang sanggup bersekongkol dengan DAP bersama kerajaan campuran bagi mendapat kedudukan dalam kabinet.

Menurutnya juga gelombang rakyat yang sedang berlaku sekarang dijangka lebih marak menjelang penamaan calon apabila ramai bekas pegawai kanan kerajaan akan bersama perjuangan PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN).

Katanya ada dalam kalangan mereka bekas Ketua Setiausaha Kementerian, duta, pemimpin Pemuda Umno dan Puteri Umno akan mengisytiharkan menyertai PAS dan PN menjelang hari penamaan calon. – HARAKAHDAILY 6/7/2023

- Advertisement -