PRN: 60 peratus pengundi sokong PN jejas Kerajaan Madani

Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kemenangan besar calon PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 antaranya disebabkan semakin ramai pengundi khususnya anak-anak muda mengenali PAS lebih dekat.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penjawat awam, NGO dan anak muda mengenali dasar dan perjuangan PAS secara lebih dekat melalui kemudahan teknologi maklumat.

Katanya, mereka mulai faham perjuangan PAS bukan hanya didukung alim ulama, sebaliknya disertai pelbagai lapisan masyarakat termasuk profesional dan teknokrat.

“Sekarang ramai tokoh-tokoh akademik, profesional, ahli korporat dan pemimpin NGO bersama PAS.

“Mereka mengenali PAS dengan lebih jelas dari segi dasar dan hala tuju perjuangan. Mereka boleh membezakan antara maklumat benar atau salah,” katanya pada program wawancara khas selama 45 minit disiarkan Kelantan TV malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Kerajaan Madani yang mentadbir negara sekarang akan terjejas sekiranya 60 peratus rakyat menolak mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Menurutnya juga persiapan logistik, operasi ‘war room’ dan pelancaran jentera pilihan raya PERIKATAN NASIONAL (PN) dibuat secara serentak di enam negeri pada 24 Jun lepas.

Kata beliau berdasar momentum PAS di Kelantan dan Terengganu begitu kuat, PN mengekalkan logo bulan di kedua-dua negeri terbabit.

Manakala di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan menggunakan logo PN.

“Ekoran kebangkitan rakyat sekarang Pakatan Harapan (PH) cuba menakut-nakutkan penduduk pelbagai kaum terhadap gelombang hijau yang dikaitkan dengan islamophobia.

“Rakyat tidak perlu takut dengan dakwaan itu kerana sudah terbukti masyarakat bukan Islam di Kelantan dan Terengganu dapat hidup dengan aman dan harmoni di bawah pentadbiran PAS.

“Kita dapat lihat masyarakat bukan Islam di Kelantan dan Terengganu tidak takut dengan gelombang hijau,” ujarnya.

Menurutnya juga islamofobia yang diuar-uarkan PH sebenarnya memerangkap diri mereka kerana masyarakat ‘non-Muslim’ di bawah pentadbiran PAS dapat merasakan keharmonian hidup di Kelantan dan Terengganu. – HARAKAHDAILY 6/7/2023

- Advertisement -