Kenyataan Suara Siswa UM yang tidak rasional

Foto hiasan.
- Advertisement -

PADA 2 Julai yang lepas, pihak Suara Siswa UM telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi menyerang pihak pengurusan universiti dengan tajuknya “Pengurusan Universiti Malaya Memperkenalkan Kod Pakaian Peperiksaan Yang Tidak Rasional” dengan pendapatnya bahawa penetapan kod tersebut telah menyalahi kebebasan bersuara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah Perkara 10.

- Advertisement -

GAMIS menyimpulkan bahawa kenyataan mereka itu sebenarnya yang tidak rasional apabila dikatakan peraturan seperti larangan berambut tidak kemas atau berwarna terang, larangan memakai aksesori muka, hoodie, topi, baju ketat, bingkap dan seluar jeans yang berlubang ketika peperiksaan sewajarnya hanya dijadikan garis panduan sahaja dan bukannya dikuatkuasakan dengan pendirian bahawa objektif peperiksaan boleh dicapai tanpa dipengaruhi oleh pemakaian mahasiswa.

Tidak salah untuk memperjuangkan kebebasan. Namun, adakah suatu kebebasan itu tidak mempunyai had dan limitasi?

Ironinya, hak kebebasan bersuara tidak pernah bersifat mutlak di mana-mana negara hatta di Amerika Syarikat dan lazimnya kebebasan ini dilindungi dengan garis panduan tertentu.

Apabila sudah menjejakkan kaki di alam pekerjaan, adakah etika pemakaian di tempat kerja juga akan dikatakan menggugat kebebasan bersuara?

Jangan sampai kita perjuangkan kebebasan membuta tuli sehingga menggadaikan kepentingan lain yang lebih utama.

Sebenarnya, kod pakaian yang diperkenalkan oleh pihak Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan Akademik (AASD) bukanlah perkara yang baharu dan sama sekali tidak keterlaluan sehingga perlu diadakan pembantahan.

Justeru, GAMIS menggesa seluruh mahasiswa untuk memahami relevansi peraturan kod pemakaian tersebut yang bukanlah bertujuan untuk menutup ruang bersuara tetapi untuk melindungi hak dan kebebasan individu serta mentamadunkan manusia.

“Mengungguli Gerakan Mahasiswa”

MUHAMMAD ALIIF DZULKIFLI
Naib Presiden 2 GAMIS Sesi 2023
Bertarikh: 5 Julai 2023 | 16 Zulhijah 1444 – HARAKAHDAILY 5/7/2023

- Advertisement -