Peguam terkejut ada menteri cuba ‘runtuh’ kuasa PBT

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seorang peguam Long Bahr menjelaskan tujuan diwujudkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai kerajaan peringkat ketiga untuk menjelaskan bidang kuasa masing-masing.

- Advertisement -

Katanya, Kerajaan Pusat tidak sepatutnya mengganggu urus tadbir kerajaan negeri, begitu juga sebaliknya PBT tidak akan menceroboh hak Pusat.

“Menjadi satu kepelikan bila mana PBT dalam menjalankan urusan sehariannya, apatah lagi urusan tersebut telah berlangsung sejak beberapa lama ditegur (diarah) menteri untuk membatalkan urusan PBT.

“Lebih pelik lagi bila mana orang yang terkesan dengan tindakan PBT tersebut telah pun akur dan membayar kompaun yang dikenakan pada 27 Jun 2023.

“Katanya ‘saya patuh dengan undang-undang’. tetapi menteri pada 1 Julai lepas mendakwa kompaun tersebut telah dibatalkan,” katanya di sini.

Baru-baru ini Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) mengenakan kompaun terhadap sebuah premis perniagaan selaras dengan Seksyen 34(2)(b) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019.

Yang Dipertua MPKB-BRI Rosnazli Amin berkata, peraturan itu mensyaratkan pemegang lesen hendaklah memastikan dirinya dan pekerja berpakaian sopan, bersih dan kemas sepanjang menjalankan perniagaan.

Katanya bagi bukan beragama Islam hendaklah memastikan dirinya dan pekerja memakai pakaian sopan dan pekerja beragama Islam memakai pakaian menutup aurat.

Bagaimanapun Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilapor mempertikaikan tindakan tersebut dan meminta MPKB-BRI menarik balik kompaun berkenaan.

Long berkata, sama ada menteri terbabit terkeliru atau dikeliru atau cuba mengelirukan.

“Tetapi hakikatnya tindakan menteri adalah salah. Tindakan kompaun telah dibuat di bawah peruntukan PBT yang sah. Hanya mahkamah yang boleh mengatakan sebaliknya.

“Kompaun telah pun diselesaikan dengan bayaran. Apabila menteri menyatakan ia dibatalkan apa maksud menteri?” ujarnya.

Beliau juga menyifat tindakan tanduk menteri seperti kebudakan dalam cubaannya untuk meraih undi bagi pihak PH-BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Oleh itu kata beliau menteri terbabit tidak layak untuk mengepalai kementerian yang menjaga PBT kerana dia sendiri cuba ‘meruntuhkan’ kuasa PBT yang sah. – HARAKAHDAILY 3/7/2023

- Advertisement -