Tindakan melulu Menteri rosakkan imej Malaysia

- Advertisement -

KEKECOHAN yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang tular semalam melibatkan Menteri Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan, Tiong King Sing diihat sebagai contoh buruk Menteri di bawah kerajaan  madani yang dilihat menyalahgunakan kuasa sebagai seorang Menteri. 

Tindakan seperti ini amat menjelikkan apabila menimbulkan prasangka jahat dan mengganggu tugas penjawat awam apabila beliau telah menuduh wujudnya perlakuan rasuah di situ. 

Ketiadaan bukti yang nyata menyatakan wujudnya elemen rasuah di Imigresen KLIA merupakan suatu tuduhan berat dan melulu bahkan ia perlu disiasat dengan lebih terperinci oleh pihak berkuasa.

Saya menegaskan bahawa Malaysia mempunyai undang-undang yang jelas untuk memastikan kelancaran setiap urusan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang menganggap diri mereka sebagai ‘hero’ warga luar dengan bertindak melepasi bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia, pihak berkuasa lapangan terbang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mahkamah perundangan di Malaysia. 

Di Malaysia, terdapat undang-undang yang ditetapkan bagi memastikan keadilan dan kedaulatan negara terpelihara. Tindakan seseorang yang mengambil langkah di luar kuasa undang-undang, mengabaikan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa atau melanggar garis panduan pengendalian pegawai di tempat awam adalah tindakan yang tidak dibenarkan dan tidak akan dibiarkan berlaku tanpa tindakan yang sewajarnya.

Kita tidak boleh bertindak mengambil alih tugas dan kuasa agensi-agensi yang berwajib semata-mata untuk mendapatkan pengiktirafan atau populariti. Tindakan sedemikian melanggar prinsip keadilan dan boleh mengancam sistem perundangan dan pemerintahan yang teguh di Malaysia. Oleh itu, saya menasihatkan individu tersebut agar menghormati undang-undang yang berlaku di Malaysia dan menggunakan saluran yang sah serta mekanisme yang sedia ada untuk menyalurkan sebarang aduan sekiranya wujud sebarang kecuaian di pihak penjawat awam.

Saya dengan tegas menggesa Perdana Menteri untuk segera mengambil tindakan tatatertib kepada Menteri yang telah mengabaikan peraturan sedia ada dan di luar batas dengan mencetuskan kegusaran di tempat awam. Tindakan ini adalah suatu kesalahan terhadap tatakelola yang baik dan memalukan bagi kerajaan madani. Sebagai seorang Menteri yang memegang tanggungjawab besar terhadap rakyat, mengabaikan peraturan dan bertindak melulu adalah tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali. 

Seorang pemimpin seharusnya menjadi contoh yang baik bagi rakyatnya, menghormati prinsip integriti, dan mematuhi undang-undang yang berlaku. Selain itu, langkah ini juga akan menghantar mesej yang kuat kepada semua ahli kerajaan bahawa tidak ada toleransi terhadap kelakuan yang melanggar undang-undang dan mengabaikan peraturan yang telah ditetapkan. Setiap individu yang diberikan jawatan dalam kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap tindakannya dan bersedia menerima akibat yang sewajarnya jika melanggar undang-undang.

Saya berharap YAB Perdana Menteri akan mendengar teguran pelbagai pihak ini berkaitan isu ini dan bertindak dengan segera untuk menjaga maruah dan nama baik negara Malaysia dan anggota perkhidmatan awam. Rakyat berhak mendapatkan pemimpin yang dapat dipercayai dan bertanggungjawab, serta kerajaan yang menjalankan tugasnya dengan integriti dan keadilan seperti yang dicanang di dalam ucapan-ucapan beliau. Jangankan pula kerajaan hari ini hanya bercakap lantang tetapi bukti kerja tidak ada seperti kata peribahasa, ‘paku sebatang, kuat bunyi tukulnya bertalu-talu’.

YB AHMAD TARMIZI SULAIMAN
Ahli Parlimen Sik 
2 Julai 2023 – HARAKAHDAILY 2/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -