KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) menjelaskan tindakan kompaun terhadap sebuah premis perniagaan selaras dengan Seksyen 34(2)(b) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019.
Yang Dipertua MPKB-BRI Rosnazli Amin berkata, peraturan itu mensyaratkan pemegang lesen hendaklah memastikan dirinya dan pekerja berpakaian sopan, bersih dan kemas sepanjang menjalankan perniagaan.
Katanya bagi bukan beragama Islam hendaklah memastikan dirinya dan pekerja memakai pakaian sopan dan pekerja beragama Islam hendaklah memakai pakaian menutup aurat.
“Tindakan kompaun di bawah seksyen tersebut dilaksanakan penguatkuasa MPKB-BRI dari semasa ke semasa terhadap pekerja dan pemilik premis beragama Islam dan bukan beragama Islam.
“Tiada apa-apa provokasi dan manipulasi yang timbul oleh mana-mana pihak sepanjang proses pengeluaran kompaun dilakukan,” katanya pada kenyataan hari ini.
Oleh itu menurutnya hantaran dalam akaun Facebook Sunny Yeap Seng yang bertarikh 25 Jun 2023 mengenai gambar pemegang lesen berpakaian yang dimuat naik adalah berbeza ketika kompaun dikeluarkan.
Kata beliau pihaknya kesal kenyataan yang tidak berasas dibuat pemegang akaun terbabit sehingga mengundang persepsi negatif masyarakat terhadap anggota Penguatkuasa MPKB-BRI. – HARAKAHDAILY 26/6/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!