Awas! Kanser saluran hempedu menyerang dalam diam

Dr Ikhwan Sani Mohamad
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Sentiasa berasa pening, pedih ulu hati dan susut berat badan hampir 30 kilogram secara tiba-tiba. Itu antara simptom awal yang dialami Raj (bukan nama sebenar), 37, pada November tahun lepas sehingga terpaksa berhenti kerja sebagai juruteknik elektrik kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Bagaikan mimpi buruk, setelah melalui proses pemeriksaan kesihatan termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT scan), pakar perubatan mengesahkan Raj menghidap kanser saluran hempedu (bile duct cancer or cholangiocarcinoma) yang memerlukan bapa dua anak itu menjalani rawatan kemoterapi pada kadar segera.

- Advertisement -

Selepas dua rawatan kemoterapi, Raj mula mengalami gejala lain iaitu ascites atau pengumpulan bendalir tidak normal dalam perut dan terpaksa menjalani prosedur pengeluaran cecair daripada badan menerusi kaedah pigtail drain.

Raj kemudian menjalani prosedur transfusi platelet kerana badannya mengalami kekurangan platelet kritikal dan doktor memaklumkan bahawa rawatan kemoterapi tidak boleh diteruskan manakala pembedahan juga tidak boleh dilakukan dan kini Raj mengikuti rawatan paliatif dengan jagaan penuh isterinya yang juga seorang jururawat.

Menurut Pakar Klinikal Hepatopankreatikobiliari dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian Dr Ikhwan Sani Mohamad, kanser saluran hempedu diklasifikasikan sebagai berlaku di tiga bahagian berbeza iaitu saluran hempedu dalam hati (intrahepatic cholangiocarcinoma), saluran hempedu di pangkal hati (hilar/proximal cholangiocarcinoma) dan di hujung saluran hempedu atau distal cholangiocarcinoma.

Beliau berkata kanser saluran hempedu, yang jarang berlaku, biasanya menyerang individu berusia lingkungan 50 hingga 70 tahun dengan golongan lelaki lebih cenderung mendapat penyakit itu.

Hanya dua peratus kanser saluran hempedu dilaporkan berlaku secara am di seluruh dunia dengan nisbah satu pesakit dalam setiap 100,000 orang dalam negara manakala hampir 50 peratus kanser itu menyerang saluran hempedu di pangkal hati.

“Kebanyakan pesakit tidak didiagnosis sebagai penghidap kanser saluran hempedu kerana simptom yang dialami tidak spesifik dalam tempoh dua bulan pertama sakit. Biasanya mereka mengadu sakit perut dan perut memulas yang sering kali disalah anggap sebagai gastrik.

“Apabila penyakit ini berada dalam tubuh badan bagi tempoh dua hingga tiga bulan, di mana saluran hempedu menjadi keras dan kanser semakin besar, ia menyebabkan saluran hempedu tersumbat. Apabila ia tersumbat, gejala yang biasa dilihat ialah jaundis, air kencing berwarna gelap seperti air teh O pekat dan kegatalan seluruh badan,” katanya kepada Bernama.

Dr Ikhwan Sani, yang juga pensyarah dan pakar perunding pembedahan di HUSM, turut menekankan bahawa gejala paling ketara dan perlu diberi perhatian ialah sekiranya golongan dewasa mendapat jaundis, ia bermaksud terdapat ‘sesuatu yang tidak normal’ dalam konteks kesihatan kerana jaundis atau penyakit kuning merupakan perkara normal bagi bayi yang baru lahir sahaja.

Beliau berkata jika lambat didiagnos, peratusan pesakit mendapat manfaat perubatan untuk menyembuhkan kanser itu ialah sekitar 20 hingga 30 peratus sahaja, contohnya jika dilihat statistik antarabangsa, daripada 10 pesakit kanser tersebut, hanya dua hingga tiga pesakit yang datang pada masa yang tepat untuk mendapatkan rawatan sepatutnya.

Katanya faktor menyumbang kepada penyakit itu termasuk keadaan kongenital seperti saluran hempedu berada dalam keadaan bengkak sejak lahir, cacing parasit dalam saluran hempedu, penyakit melibatkan hati seperti Hepatitis serta Sirosis Hati, merokok dan obesiti.

Dr Ikhwan Sani berkata hanya pembedahan yang membolehkan pesakit sembuh daripada penyakit itu namun ia juga mempunyai risiko tersendiri kerana kompleks dan mengambil masa lima hingga sembilan jam susulan kedudukan saluran hempedu yang berdekatan organ penting seperti hati, pankreas dan duodenum.

“Untuk pesakit yang tidak boleh dibedah, mereka terpaksa diberi rawatan paliatif atau rawatan untuk mengurangkan gejala agar pesakit menikmati kualiti hidup baik, bergantung kepada jenis masalah seperti jaundis atau kesakitan teruk,” katanya.

Mengenai cara pemakanan pesakit, beliau berkata makanan yang perlu dielakkan ialah berlemak dan berminyak, daging merah serta organ dalaman haiwan kerana ia boleh memberi beban kepada hati pesakit.

Mengambil kira kesedaran yang masih rendah dalam kalangan rakyat Malaysia, Dr Ikhwan Sani turut menitipkan pesanan agar individu yang mengalami sakit perut berpanjangan lebih dua minggu atau jaundis dan warna air kencing berubah segera mendapatkan rawatan.

“Bagi pesakit dan anggota keluarga mereka, teruskan sokongan sosial dan sentiasa berfikiran positif. Dekatkan diri dengan ibadah mengikut ajaran agama masing-masing dan mereka juga boleh menyertai kumpulan sokongan kanser di pelbagai platform,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -