Harapan rakyat negara dipacu ke arah lebih baik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan merakam ucapan tahniah kepada Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob di atas pelantikannya sebagai perdana menteri ke-9 Sabtu lepas.

Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kub berkata, besar harapan rakyat untuk melihat negara dipacu ke arah lebih baik bagi mendepani cabaran semasa politik dan ekonomi.

Ucapan tahniah berkenaan dirakam selepas bacaan doa pada pembukaan persidangan tersebut di Dun Kelantan pagi tadi.

- Advertisement -

Ismail Sabri mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan sebagai perdana menteri daripada Yang di-Pertuan Agong pada Sabtu lepas di Istana Negara.

Pelantikan itu berikutan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan ekoran kehilangan sokongan majoriti, ekoran 15 ahli parlimen Umno menarik sokongan terhadapnya.

Dun Kelantan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Adun Melor, Dr Md Yusnan Yusof yang meninggal dunia April lepas.

Persidangan hari ini dihadiri 44 Adun diadakan secara fizikal dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Setiap Adun perlu mengisi kedatangan menggunakan QR Code, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal. Mereka juga perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ini.

Ujian calitan Covid-19 turut dilakukan terhadap pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam persidangan tersebut.

Pada persidangan khas Dewan Rakyat 26 hingga 29 Julai lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan sebanyak 85 kes positif Covid-19 melalui ujian RT-PCR yang diadakan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebanyak 56 kes daripadanya dikenal pasti hasil saringan Pra-Dewan Rakyat dan empat kes kontak rapat. – HARAKAHDAILY 23/8/2021

- Advertisement -