MANUSIA secara umumnya memerlukan bukti untuk mempercayai sesuatu, dan inilah hikmah di sebalik mukjizat yang diberikan kepada Nabi Isa.
Ketika Nabi Isa menyampaikan bahawa Allah mengutusnya, baginda menunjukkan mukjizat sebagai bukti kerasulan yang dipegangnya.
Salah satu mukjizatnya ialah kemampuan untuk membentuk burung dari tanah liat, meniupnya, dan menjadikannya hidup dengan izin Allah. Baginda menyatakan, “Jadilah ia burung dengan izin Allah,” dan burung tersebut pun hidup serta terbang.
Selain itu, Nabi Isa dikurniakan mukjizat menyembuhkan orang yang buta sejak lahir, hanya dengan menyapu pada mata mereka. Mukjizat ini mengagumkan kerana pada zaman itu, perubatan yang canggih sekalipun tidak mampu mengubati buta sejak lahir.
Baginda juga dapat menyembuhkan penyakit kusta, yang pada waktu itu dianggap penyakit yang menakutkan dan sukar diubati. Penghidapnya terpaksa menjauhkan diri daripada orang ramai, namun dengan izin Allah, Nabi Isa mampu mengubati penyakit tersebut.
Satu lagi mukjizat besar yang dikurniakan kepada Nabi Isa ialah kemampuan untuk menghidupkan orang yang telah mati. Bahkan, ketika masih kecil, baginda menunjukkan mukjizat ini kepada rakan-rakannya.
Pernah satu ketika, baginda makan ayam bersama mereka. Setelah makan, baginda menyuruh ayam yang tinggal tulang itu “bangun,” dan ayam tersebut hidup kembali, mengejutkan kawan-kawannya.
Mukjizat lain yang dimiliki Nabi Isa ialah kebolehan mengetahui apa yang dimakan oleh orang lain dan apa yang mereka simpan di rumah, meskipun baginda tidak pernah ke rumah mereka. Semua ini merupakan tanda kebesaran Allah dan bukti kebenaran risalah yang dibawa oleh Nabi Isa kepada Bani Israel.
Allah mengutus Nabi Isa bukan untuk menafikan ajaran Nabi Musa, tetapi untuk mengesahkan dan menyempurnakannya. Ajaran Taurat yang dibawa oleh Nabi Musa lebih keras sifatnya, sesuai dengan keperluan pada zamannya.
Contohnya, dalam syariat Taurat, penyucian diri memerlukan tindakan yang ekstrem seperti mengorek mata atau memotong tangan yang tersentuh benda haram. Manakala, Injil yang dibawa oleh Nabi Isa mengandungi pendekatan yang lebih lembut dan memupuk sifat pemaaf.
Contohnya, baginda mengajarkan bahawa jika pipi kanan ditampar, berikanlah pipi kiri. Jika seseorang mencuri sebelah selipar, berikanlah sebelah lagi agar tidak menyukarkan langkahnya. Ini menggambarkan sifat pemaaf dan kasih sayang yang ditanam dalam ajaran Nabi Isa.
Para ulama mengatakan bahawa kitab Taurat dan Injil sebenarnya saling melengkapi, seperti dua sisi sekeping syiling. Dalam ajaran Kristian, penganutnya juga mempercayai Taurat dan Injil, namun Injil yang ada pada hari ini sudah banyak diselewengkan.
Nabi Isa tidak datang untuk menolak ajaran Nabi Musa tetapi melengkapkannya, sepertimana hubungan antara nabi-nabi yang diutus Allah, yang saling memperkukuh antara satu sama lain.
Nabi Muhammad SAW ada mengibaratkan hubungannya dengan nabi-nabi terdahulu seperti sebuah bangunan yang hampir siap, hanya tinggal satu ruang kosong.
Baginda adalah bata terakhir yang melengkapkan bangunan tersebut, menjadikannya sempurna. (Rujuk Riwayat Imam Bukhari, 3535). Ini menunjukkan bahawa ajaran setiap nabi berkait rapat, saling melengkapi, meskipun terdapat perbezaan syariat yang sesuai dengan keadaan zamannya.
Syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah yang terakhir dan paling sempurna. Oleh itu, apa-apa syariat daripada ajaran terdahulu yang tidak selaras dengan ajaran baginda, perlu digugurkan.
Sebagai contoh, solat telah ada sejak zaman Nabi Adam, tetapi caranya berbeza. Nabi Musa solat dengan cara tertentu, dan begitu juga Nabi Isa. Solat yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW adalah yang paling lengkap, melibatkan qiam, rukuk, dan sujud, merangkumi elemen-elemen solat yang ada dalam syariat nabi-nabi terdahulu.
Puasa juga bukan amalan yang baru. Umat-umat terdahulu juga berpuasa, sebagaimana yang disebut dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183. Namun, cara berpuasa berbeza. Ada yang berpuasa pada waktu malam sahaja, ada yang berpuasa hanya pada jenis makanan tertentu, dan ada yang berpuasa hanya mengikut waktu-waktu tertentu.
Syariat puasa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW adalah sebulan dalam setahun pada bulan Ramadan, suatu ibadah yang ditetapkan dengan cara yang lebih lengkap dan sempurna.
Nabi Isa menegaskan bahawa Allah adalah Tuhannya dan Tuhan kita semua. Oleh itu, baginda menyeru kaumnya untuk beribadah kepada Allah dan mengikuti jalan yang lurus.
Ini adalah peringatan kepada kita semua bahawa seluruh ajaran yang dibawa oleh para nabi adalah untuk mengingatkan manusia agar kembali kepada Allah dan berjalan di atas jalan yang lurus, jalan yang membawa kepada rahmat dan keredhaan-Nya. – HARAKAHDAILY 8/11/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.