ALLAH menyatakan bahawa setiap umat terdahulu diberikan syariat yang khusus untuk diamalkan.
Firman Allah ini menjelaskan, “Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariaatmu. Serulah wahai Muhammad, umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus” (Surah Al-Hajj, 67).
Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad ﷺ adalah penyudah dan pelengkap bagi semua agama sebelumnya. Setiap umat terdahulu mempunyai syariat, ibadah, dan undang-undang yang sesuai untuk zaman mereka.
Sebagai contoh, ajaran Nabi Musa yang terkandung dalam kitab Taurat terhad hanya kepada umat baginda. Selepas zaman itu berlalu, syariat tersebut tidak lagi relevan walaupun ada yang mengaku sebagai pengikut Nabi Musa.
Hal yang sama berlaku kepada agama Kristian yang hari ini masih menganggap diri mereka pengikut Nabi Isa. Namun, ajaran yang dibawa oleh Nabi Isa hanya khusus untuk umat pada zamannya sahaja dan tidak terpakai selepas itu.
Malah, Nabi Musa dan Nabi Isa telah menjelaskan bahawa mereka diutuskan oleh Allah hanya untuk kaum Bani Israel. Ini sebabnya, orang Yahudi tidak berdakwah kepada kaum lain, kerana agama mereka hanya untuk kaum dan keturunan mereka.
Dalam Bible, sejarah perkembangan agama Kristian menunjukkan bahawa ramai individu bukan Yahudi yang bertemu Nabi Isa dan ingin menjadi pengikutnya. Mereka dikenali sebagai kaum Gentiles. Namun, permintaan mereka ditolak kerana Nabi Isa hanya diutuskan untuk kaum Bani Israel.
Ini menegaskan bahawa setiap nabi sebelum Nabi Muhammad ﷺ diutuskan dengan syariat yang khusus untuk kaumnya, manakala Islam hadir sebagai agama universal untuk seluruh umat manusia, tanpa batasan bangsa atau zaman. – HARAKAHDAILY 12/11/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.