Kajian: Peluang cerah PN kuasai Selangor, N Sembilan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Berdasar kajian yang dibuat PERIKATAN NASIONAL (PN) peluang untuk merampas pentadbiran Selangor dan Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri (PRN) terbuka luas sekarang.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PN Dato’ Seri Hamzah Zainuddin berkata, begitu juga negeri yang diterajui PAS dan PN sekarang akan terus dapat dipertahankan.

“Setiap hari saya menerima maklumat dan hasil kajian menjelaskan situasi itu sehingga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebut Ringgit terus merosot kerana ada pihak mahu menukar kerajaan pada Ogos hadapan.

“Saya anggap Perdana Menteri sedar keadaan yang berlaku. Jadi adalah lebih baik Anwar meletak jawatan sekarang bagi mengelakkan ekonomi terus merudum,” katanya pada pelancaran jentera Pilihan Raya PN di Dataran Warisan di sini malam tadi.

Hadir sama Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Naib Presiden PAS Dato’ Mohd Amar Abdullah, Ketua Pemuda PN Malaysia Ahmad Fadhli Shaari, ahli jawatankuasa PN Pusat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Pengerusi Bersatu Kelantan Dato’ Kamaruddin Mohd Nor serta wakil Gerakan.

Pada majlis itu Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN Pusat menyerah bendera PAS kepada pengarah pilihan raya setiap kawasan parlimen.

Sebelum itu Tuan Guru Awang Yusof mengimamkan solat hajat bagi mempertahankan kerajaan Kelantan yang diaminkan ribuan penyokong PAS dan Bersatu yang hadir.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, Pulau Pinang pun ada peluang, namun ia perlu mengambil sedikit masa lagi.

“Saya bentang data yang betul berdasar analisa yang berlaku sekarang,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 25/6/2023

- Advertisement -