PN hampir selesai senarai calon dan tawaran manifesto

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PERIKATAN NASIONAL (PN) kini di peringkat akhir untuk memurnikan manifesto ataupun aku janji yang sekarang ini hampir siap dibuat untuk PRN di enam negeri, demikian umum Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh, ia mengandungi tawaran-tawaran dibuat oleh enam kerajaan negeri ini sekiranya kekal di bawah PN termasuk dapat memenangi tiga negeri lainnya.

Beliau menzahirkan keyakinan memenangi PRN kali ini berdasarkan kelancaran pembahagian kerusi, kesiapsediaan jentera dan sokongan semasa yang ditunjukkan oleh rakyat kepada PN.

Perkara tersebut dimaklumkan beliau pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden PN yang telah diadakan di Pejabat PN, di sini sebentar tadi.

Beritahunya, perincian calon dan parti mewakili PN bagi setiap kerusi tersebut akan diumumkan di peringkat negeri masing-masing supaya ahli-ahli parti dan jentera mengetahui dan bekerja lebih kuat.

“Setiap parti yang ada di sini ada dia punya jawatankuasa yang akan menapis siapa yang agak sesuai dari segi kelayakan, pengalaman, latar belakang dan semua mereka ini akan melalui tapisan ataupun saringan.

“Daripada pihak Polis Diraja Malaysia, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), (Jabatan) Insolvensi dan juga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Ini yang telah pun kita buat masa lampau dan ini juga akan terus kita lakukan. 

“Semua calon kita ini akan nanti mengangkat ikrar akur janji sebagaimana telah dilakukan dalam PRU lepas menunjukkan komitmen calon insya-Allah bila menang untuk terus menjalankan tugas,” ujarnya memberitahu semua calon juga menggunakan logo PN.

Tegasnya, PN komited untuk menjunjung keluhuran Perlembagaan, membela kebajikan rakyat dan memacu kemajuan ekonomi menerusi pembentukan kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil. – HARAKAHDAILY 22/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -