PAS telah buktikan kemampuan tadbir urus kerajaan

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS menjadikan penguasaan politik dipegangnya sebagai satu pertambahan kepada Allah SWT di mana pemerintahan dilaksana berpaksikan ubudiyah, mas’uliyah dan itqan.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menegaskan, kerana itu pimpinan PAS yang dilantik ke jawatan Menteri Besar atau Exco bertanggungjawab bukan hanya kepada rakyat, tetapi juga agama.

Kupasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, peranan PAS di arena siyasah telah menjernihkan konotasi yang sering mendoktrin politik sebagai kotor, sedangkan ia naratif untuk memisahkan politik dari Islam.

Beliau memberikan contoh bidang ekonomi di mana wujud ahli perniagaan atau perniagaan yang menjalankan penipuan, hutang dan pelbagai kecurangan lain, tetapi tiada orang menyebut ekonomi itu kotor.

Jelas beliau juga, PAS telah membuktikan perkara itu menerusi pemerintahannya di Kelantan sebagai model pentadbiran Islam di mana dipanjangkan kini di Terengganu, Kedah dan Perlis.

Beliau membentangkan tajuk ‘Fiqh Siyasah – Pengalaman Sebagai Kerajaan: Cabaran, Batasan dan Peluang’ dalam Ijtimak Tarbawi 9.0 Dewan Pemuda PAS Malaysia di i-City Convention Centre (ICCC), di sini sebentar tadi.

“Kita mendapat pencapaian-pencapaian, kejayaan seperti budaya bersih daripada rasuah, penyelewengan dan kali ini juga kita memperkenalkan tentang dasar pendidikan rabbani,” ujarnya.

Menurutnya, ketika PAS bersama parti-parti lain membentuk kerajaan campuran, PAS tetap membawa pelbagai kesungguhan dan pencapaian untuk kepentingan rakyat serta negara dengan memperkenalkan pelbagai pendekatan atau inisiatif.

“Tengok kelebihan dan kekuatan yang ada waktu kita pegang kuasa. Satu saf kepimpinan dan ahli yang mempunyai kepakaran dan kemahiran. Ertinya PAS ni mempunyai kepimpinan dan ahli-ahli yang berbagai-bagai kepakaran, kemahiran.

“Sama ada dari segi latar belakang akademik mahupun dari segi profesional. Kita memiliki kepimpinan yang kita telah letakkan. Walaupun kita ni bukanlah orang yang sempurna perfect tapi kita mampu untuk menguruskan setiap kementerian,” ujarnya.

Malah katanya, hal sama terlihat pada lantikan-lantikan politik PAS di mana semuanya bukan sahaja membuktikan aspek kemampuan atau kebolehan mentadbir urus, tetapi juga integriti.

Selain itu menurut beliau, pentadbiran dibawa pemerintahan PAS atau pemimpin PAS mempunyai sokongan di mana tidak wujud boikot daripada kalangan pegawai-pegawai kerajaan atau kementerian. – HARAKAHDAILY 17/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -