Umno bantu PH kuasai Kerajaan Persekutuan

- Advertisement -

KOTA BHARU: DAP yang lebih dominan jumlah kerusi parlimen dalam Pakatan Harapan (PH) kembali menguasai kerajaan Persekutuan kerana dibantu Umno dan Barisan Nasional (BN).

- Advertisement -

Setiausaha Agung PAS, Dato Seri Takiyuddin Hassan berkata, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, PH hanya menang 82 kerusi masih tidak mampu membentuk kerajaan.

Katanya, jumlah kerusi PH didominasi DAP yang memenangi 40 kerusi parlimen jauh mengatasi PKR dan Amanah.

“Namun Umno tampil membantu PH dengan menyumbang sebanyak 30 kerusi bagi menjadikan jumlah kerusi parlimen PH sebanyak 112 sehingga berjaya membentuk kerajaan dengan kerjasama parti dari Sarawak dan Sabah.

“Ini perlu rakyat sedar tanpa bantuan Umno, PH tidak mampu membentuk kerajaan seperti yang ada sekarang, memandang PERIKATAN NASIONAL (PN) sudah memiliki majoriti mudah ketika itu,” katanya pada Konvensyen PAS Kelantan di Putik, hari ini.

Hadir sama Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob; Timbalan Pesuruhjaya, Dato Dr Mohamed Fadzli Hassan; Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Zulkifli Mamat dan Pengarah Pilihan Raya Dewan Ulamak Negeri, Mohd Asri Mat Daud dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato Abdullah Yakob.

Sempena program itu turut diadakan bacaan ikrar bagi mempertahankan kerajaan Kelantan dan penyerahan panji kepada wakil Dewan Ulamak, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda, Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Assabiqun, Ameerah, Briged Muslimat dan Keselamatan.

Panji tersebut diserah oleh Ustaz Ahmad kepada setiap wakil terbabit.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu yakin pemimpin PH datang silih berganti ke Kelantan atas nama kerajaan Pusat bagi menarik simpati rakyat.

Menurutnya, difahamkan esok Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan sehari ke Kelantan termasuk mengadakan perjumpaan dengan kakitangan kerajaan pusat dan negeri.

“Hari ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, juga dikatakan datang ke Kota Bharu sempena sambutan Hari Belia Negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/6/2023

- Advertisement -