Islam Liberal: Ideologi batil yang terhias indah

- Advertisement -

SHAH ALAM: Para pemuda Islam mesti berwaspada terhadap pelbagai gerakan dan pendekatan yang menyembunyikan kemudaratan dan kebinasaan dibawa mereka menerusi nasihat dan pandangan batil yang dilontarkan.

Timbalan Ketua Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail mengingatkan, golongan tersebut menghiasi ucapan mereka secara zahir, tetapi hakikatnya membawa tabiat kerosakan menerusi petunjuk dan bimbingan palsu.

“Namun dihiasi dengan hiasan yang menarik perhatian mangsa. Justeru itu, Allah sudah menyebut demikian dan kalau kita lihat pada hari ini selepas munculnya pelbagai ideologi-ideologi manusia seumpama ideologi, komunisme, kapitalisme, sekularisme.

“Dan berbagai-bagai ideologi ini, adakah manusia mendapat kejayaan dan mencapai kebahagiaan? Adakah ideologi ini telah memandu manusia keluar daripada krisis kemanusiaan? Adakah ideologi ini telah mengurangkan jenayah?

“Adakah ideologi ini telah mengurangkan kemiskinan? Adakah ideologi ini telah menegakkan keadilan tidak ada,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka dan Ahli Parlimen Jasin.

Beliau membentangkan tajuk ‘Pemikiran Islam Liberal: Ancaman Kepada Masyarakat dan Negara’ dalam Ijtimak Tarbawi 9.0 Dewan Pemuda PAS Malaysia di i-City Convention Centre (ICCC), di sini sebentar tadi.

Menurutnya, ideologi-ideologi tersebut tersebar di seluruh dunia dan diperjuangkan bermati-matian untuk ia ditegakkan dan menjadi dasar di dalam pentadbiran pemerintahan sesebuah negara.

Oleh itu, beliau berharap para Pemuda agar memiliki sifat peka agar tidak mudah tertipu serta memahami pelbagai perkataan yang cuba memperdayakan hingga memalingkan manusia daripada hidayah Allah SWT.

“Ada dalam bentuk yang menggambarkan perbuatan mungkar dan maksiat itu sebagai suatu kehebatan dan kemuliaan. Ada dalam bentuk yang kompleks menggambarkan penentangan dan penolakan Islam itu sebagai kemajuan dan kebijaksanaan.

“Ada dalam bentuk-bentuk yang lain yang menggambarkan penolakan agama itu sebagai suatu ketaatan,” ujarnya menegaskan bahawa pesongan itu untuk menghalang manusia dari syurga Allah SWT.

Sebab itu katanya, penting berpegang teguh dengan Islam dan kebenaran yakni bersama golongan atau jemaah memperjuangkan Islam di mana akan dapat mengenali ideologi-ideologi yang telah dikahwinkan.

Paling utama ujarnya, Allah SWT akan memberi hidayah dan pertolongan kemenangan dari-Nya hanya kepada golongan ini di mana semua itu bukan soal pilihan atau ijtihad, tetapi kurniaan Allah. – HARAKAHDAILY 17/6/2023

- Advertisement -
- Advertisement -