Tan Sri TGNA: Antara anugerah dan naratif politik

- Advertisement -

SECARA zahirnya, penganugerahan ini adalah perkenan daripada YDPA. Namun, senarai penerima ini akan dicadang serta ditapis oleh Perdana Menteri terlebih dahulu.

Surat jemputan daripada istana tidak diberikan melalui kerajaan negeri, sebaliknya dihantar melalui anak kedua Allahyarham yang memilih bertanding di atas tiket PKR di Perak, iaitu bapa saudara kami yang dihormati. 23 tahun memimpin Kerajaan PAS di Kelantan, namun undangan bersejarah begini diberikan melalui tangan seorang yang memilih untuk tidak bersama perjuangan beliau? Media FMT juga hanya menemu-bual ayah saudara kami yang satu ini, bukan 9 anak Allahyarham lain yang masih bersama perjuangannya. 

Memandangkan jemputan daripada Istana Negara tidak boleh ditolak, maka isteri Allahyarham, Tuan Sabariah Tuan Ishak, nenda kami, memenuhi undangan tersebut.

Ahli keluarga ‘dicanangkan’ lebih awal bahawa Tuan Guru akan dianugerahi gelaran Tun, namun sebaliknya apabila surat istana tiba, ternyata kami dikejutkan dengan penerimaan gelaran Tan Sri sahaja. Ah, tidak pelik kerana yang mencanangkan ini memang dikenali sebagai Mat Retorik, sebagaimana Tun Mahathir menggelarkannya.

Adakah kami memandang rendah gelaran Tan Sri ini? كلَّا. Namun kami terkejut kerana ayahanda ulamak sepuh milik ummah ini diletakkan sebaris dengan seteru politik dan agama daripada DAP, dari dulu sehingga nafas akhir beliau. Ternyata sama sahaja taraf seorang ulamak yang bermati-matian atas nama Islam, dengan seorang berfahaman cauvinis dan tidak menerima Malaysia sebagai negara Islam, di mata Malaysia Madani ini… حسبنا الله ونعم الوكيل 

Penulisan ini tidak bermakna kami bertentangan dengan PAS yang turut meraikan penganugerahan ini, namun kerana ingin menepis naratif ‘keluarga besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) berpecah dan kami yang menyatukannya’, ‘masa jadi kerajaan, PAS tak beri Tan Sri pun’ atau ‘Anwar tak lupa kawan’ dan lain-lain reverse psikologi yang ditujukan.

Walhal, hanya kerana seorang anak Allahyarham tidak sedar dirinya menjadi bola bagi pihak lawan, bergerak ikut kaki yang menyepaknya, meraikan ayahnya yang diletakkan sebaris dengan musuh agama yang dilawan sehingga keras jiwa dan putus nyawanya.

Ulamak ini diberikan pengiktirafan, hanya setelah jasad tertanam jauh di dalam bumi. Sayang sekali, ketokohan beliau diperalatkan setelah beliau tiada. Almarhum TGNA telah dianugerahi gelaran Dato’ Bentara Setia pada tahun 2010, iaitu tiga tahun sebelum beliau turun dari kerusi Menteri Besar setelah 23 tahun pemerintahan. Apa ertinya? Bahawa gelaran material ini tidaklah pernah menjadi keutamaan beliau kerana sedar bahawa pangkat dan darjat di dunia tidak menyamai ganjaran dan keredaan Allah S.W.T.

Walaupun begitu di kesempatan ini, saya menjunjung kasih kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong atas perkenan penganugerahan Darjah Kebesaran P. S. M ini kepada Allahyarham datuk kami, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Junjung kasih, Tuanku. (Tak nak mai Mesir ke Tuanku?) 

Akhir sekali, pengiktirafan sebenar akan lebih bermanfaat sekiranya idea tokoh ini diperjuangkan, biografi hidupnya dibukukan, serta wawasannya diangkat ke persada.

Sebagai seorang penulis sendiri, saya hanya menunggu masa untuk mengumpulkan segala maklumat hidup arwah Tuan Guru untuk menulis sebuah biografi lengkap beliau. Penulisan biografi tidak mudah dan akan mengambil masa yang panjang, namun inilah bakti yang saya mampu lakukan kepada beliau.

In frame: Plak atas sekali adalah gambar Almarhum TGNA yang dipaparkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kaherah pada Februari lalu.

رحمه الله رحمة واسعة وأسكنه فسيح جناته ???

NIK NUR HUMAIRA – HARAKAHDAILY 12/6/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0kHFaC7XhSsWWxjr3cD7PDwPcTTTHbz4TbzB3AL1GqwKkp2JBgPdKgqMDxKgw2VHGl&id=100035060430851&mibextid=Nif5oz 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -