SEREMBAN: Umno kini bukan lagi parti yang menjaga kepentingan bangsa dan negara, malah sejak PRU2013, sudah tidak menjadi pilihan rakyat dan lebih 2 juta orang telah meninggalkan parti itu.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Tan Sri Panglima Annuar Musa berkata demikian pada Ceramah Perdana Gelombang Kebangkitan Rakyat anjuran PERIKATAN NASIONAL (PN) di Senawang, di sini sebentar tadi.
“Dia telah bertukar menjadi satu parti menjaga kepentingan individu, menjaga kepentingan kelompok dan puak dan sekarang ini sibuk menjaga dan menjadi tukang sapu kepada parti DAP semata-mata,” bidasnya.
Menurut beliau, parti tersebut sedang dikongkong dan digonggong oleh Presidennya dan telah merosakkan dirinya sendiri serta menjadi penderhaka nombor satu kepada perjuangan orang Melayu dan umat Islam dalam negara ini.
Annuar sudah 50 tahun terlibat dalam politik dan berjuang dalam Umno di mana selama 35 tahun sebagai Ketua Umno Bahagian Ketereh yang menang tanpa bertanding dan selama 28 tahun sebagai Ahli MKT.
Beritahu beliau yang kini Presiden Muafakat Nasional, ketika menunaikan umrah pada bulan Rejab lalu, beliau merasakan sampai masanya membuat perubahan, lalu bertekad menyertai PAS dan PN.
“Tidak mudah untuk saya membuat satu keputusan. Walaupun ramai kawan-kawan mengajak saya kembali kepada Umno. Petang tadi pun Presiden Umno membuat rayuan kepada mereka yang telah digantung dan dipecat untuk kembali kepada Umno.
“Saya nekad membuat keputusan untuk tidak kembali kepada Umno dan meneruskan perjuangan saya. Saya cuma mahu mengajak kita berfikir dengan hati yang tenang, dengan jiwa yang luhur, akan pilihan kita dalam perjuangan politik, agar kita memilih jalan yang benar.
“Walaupun saya tahu 50 tahun saya berada dalam Umno juga berasaskan keyakinan saya pada Umno pada ketika itu. Pada Umno diharapkan menjadi parti yang akan mendukung penyatuan dan perpaduan ummah dan rakyat, bukan menjadi parti yang mengepalai perpecahan di kalangan ummah rakyat dalam negara ini.
“Kepada Umno pada waktu itu diharapkan agar menjadi parti politik yang menjunjung perjuangan ABATA, Alif Ba Ta, Agama Bangsa, dan Negara, dan juga nak menjaga Umno sebagai sebuah parti yang didukungi oleh majoriti umat dan rakyat dalam negara ini,” imbasnya.
Katanya lagi, beliau akan menjelaskan rasional penyertaannya itu bersama PAS dan PN pada siri-siri rapat umum yang akan diadakan selepas ini dengan mengajak rakyat untuk bersama PN. – HARAKAHDAILY 10/6/2023