Maruah Melayu

- Advertisement -

PADA abad ke-20, konflik dalam masyarakat banyak terjadi kerana perbezaan kelas sosial dan ekonomi. Parti-parti komunis dan sosialis muncul kerana menentang dominasi kelas kapitalis ke atas kelas pekerja. Mereka memperjuangkan kesamarataan hak dengan matlamat untuk mewujudkan masyarakat yang tiada kelas (classless society).

Namun, di akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21, konflik antara kelas menjadi semakin kabur. Ini tidak bermakna perbezaan antara kelas kapitalis dan kelas pekerja telah hilang dan matlamat mewujudkan ‘classless society‘ telah tercapai. Malah, kesan globalisasi dan kapitalisme global telah menyebabkan jurang ketidaksamarataan (inequalities) menjadi semakin melebar.

Konflik kelas menjadi kabur kerana telah muncul penanda baharu yang menyerlahkan perbezaan antara golongan masyarakat iaitu identiti yang berasaskan agama, kaum dan gender. Di seluruh dunia, muncul parti-parti politik dan gerakan sosial baharu yang memperjuangkan semangat nasionalisme, patriotisme dan hak golongan minoriti seperti imigran, masyarakat kulit hitam, kumpulan transgender dan lain-lain.

Sementara motif utama konflik kelas pada sepanjang abad ke-20 ialah penindasan ekonomi dan perjuangan untuk mencapai hak kesamarataan ekonomi, banyak konflik pada akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21 disebabkan oleh perbezaan identiti dan masalah peminggiran ekonomi dan sosial kerana identiti yang berbeza.

Konflik Hindu-Islam di India berlaku kerana perbezaan identiti agama, bukan kelas. Kemunculan kumpulan pemisah di Selatan Thailand, Selatan Filipina, East Timor, Xinjiang dan di negara-negara bekas Soviet juga disebabkan oleh perbezaan identiti kaum dan agama, bukan perbezaan kelas. Malah di negara demokrasi Amerika Syarikat, muncul gerakan ‘Black Lives Matter‘ yang berpengaruh untuk memperjuangkan hak kaum minoriti kulit hitam yang menjadi mangsa keganasan polis kulit putih.

Di negara komunis China, apabila kaum Uyghur (yang nenek moyang mereka berasal dari Turki) dipaksa oleh pemerintah untuk melupakan asal usul jatidiri agama dan budaya mereka menerusi dasar asimilasi yang ketat, mereka menentang. Akibatnya, kaum Uyghur ditindas dan menurut laporan badan-badan antarabangsa mereka juga dibunuh.

Di Tanah Melayu sebelum merdeka, orang Melayu bangkit menentang Malayan Union kerana sedar bahawa dengan dasar kewarganegaraan yang liberal, lama kelamaan mereka akan menjadi kumpulan minoriti di tanah air sendiri selain terus terpinggir dari segi ekonomi. Walaupun Raja-raja Melayu pada masa itu telah dipaksa oleh British untuk menandatangani perjanjian pembentukan Malayan Union, orang Melayu bangkit menentang.

Dalam semua konflik di atas, persamaannya ialah maruah yang tercalar. Orang Islam di India mendapati bahawa maruah mereka tercalar apabila masjid mereka diroboh dan undang-undang berkaitan agama Islam ditafsir oleh hakim-hakim Mahkamah Sivil yang beragama Hindu. Orang Melayu di Selatan Thailand, Moro di Selatan Filipina, Uyghur di Xinjiang merasakan bahawa maruah mereka dirobek apabila dasar asimilasi pemerintah yang ketat menyebabkan mereka tidak bebas mengamalkan adat, agama dan budaya mereka. Mereka rela mati untuk mempertahankan maruah.

Orang Melayu bangkit menentang Malayan Union dahulu pun kerana merasakan maruah mereka dipijak dan diinjak oleh penjajah British. Ungkapan paling tepat untuk menggambarkan penghinaan terhadap maruah Melayu ini ialah titah Almarhum Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid, Sultan Kedah sebelum baginda menandatangani perjanjian Malayan Union pada 2 Disember 1945.

Sir Harold MacMichael di dalam notanya yang disimpan di Colonial Office, London dan kemudiannya disiarkan dalam British Documents on the End of Empire menulis: 

“I now asked Mr Bourdillon to produce the Treaty itself for signature, but at this point the Sultan said he would like to say a few words. He then delivered, standing, a short speech which he had obviously prepared with the minutest care and memorised. He said that this was the most distressing and painful moment of his whole life. Henceforward he would lose the loyalty, the respect and the affection of his subjects, and he would be pursued with curses towards his grave by the ill-informed. He called upon Allah to witness his act and to protect him for the future. He would sign because no other course was open”.

[Terjemahan: Saya meminta En Bourdillon mengeluarkan perjanjian untuk ditandatangani, tetapi pada ketika ini Sultan mengatakan bahawa baginda ingin bertitah. Baginda kemudiannya berdiri menyampaikan titah ringkas yang telah disediakan dengan penuh cermat dan dihafal. Titah baginda, inilah saat yang paling menyeksa dan menyakitkan sepanjang hidupnya. Selepas ini baginda akan kehilangan taat setia, rasa hormat dan kasih sayang rakyatnya, dan akan dihambat dengan sumpah seranah hingga ke kubur oleh mereka yang tidak mengetahui. Baginda kemudiannya berdoa kepada Allah untuk menyaksikan perbuatannya dan melindunginya pada masa hadapan. Baginda terpaksa menurunkan tandatangannya kerana tiada pilihan.]

Almarhum Sultan Badlishah menentang pembentukan Malayan Union dan menghantar beberapa surat bantahan kepada Kerajaan British. Namun, penentangannya tidak diendah oleh Kerajaan British pada masa itu. Ketika Almarhum Sultan Badlishah mangkat pada bulan Julai 1958, bekas Setiausaha Negara Lennox-Boyd membuat catatan: ‘I think the Sultan of Kedah (for whom I had great respect as a hard working & honourable Ruler) was quite right in being wholly opposed to the MacMichael proposals. This makes me even more anxious to say ‘I’m sorry he’s dead.’ [Lihat CO 1030/766. https://sas-space.sas.ac.uk/6128/13/vB3_Malaya_Part_I.pdf ]

Soal maruah tidak boleh dipandang ringan. Sejak semalam saya memerhati komen-komen di media sosial yang memberi respon terhadap penganugerahan gelaran Tan Sri kepada Lim Kit Siang. Rata-rata orang Melayu meluahkan rasa kecewa.

Ini bukan kali pertama orang Cina mendapat gelaran Tan Sri. Telah ramai orang Cina bergelar Tan Sri. Malah, dua pemimpin kaum Cina, Tun Tan Siew Sin dan Tun Tan Cheng Lock, mendapat gelaran Tun sejak lama dahulu. Orang Melayu tak kecewa atau marah. Tetapi apabila Lim Kit Siang mendapat anugerah Tan Sri, respon kebanyakan orang Melayu yang saya terima tidak positif.

Kenapa? Kerana maruah mereka tercalar. Lim Kit Siang sepanjang hayat politiknya berada di dalam parti yang dasar-dasarnya tidak lunak kepada orang Melayu. Deklarasi Setapak 1967 (https://dapmalaysia.org/parti/matlamat/deklarasi-parti/deklarasi-setapak/) yang ada iras-iras Malayan Union masih kekal menjadi prinsip utama perjuangan DAP.  Orang Melayu rata-ratanya masih tidak boleh menerima perjuangan DAP. Soal maruah tidak boleh dibuat main-main.

Francis Fukuyama di dalam bukunya ‘Identity: The Demand for Dignity and the Politics of Resentment‘ menulis:

“But as important as material self-interest is, human beings are motivated by other things as well, motives that better explain the disparate events of the present. This might be called the politics of resentment…This resentment engenders demands for public recognition of the dignity of the group in question. A humiliated group seeking restitution of its dignity carries far more emotional weight than people simply pursuing their economic advantage”.

MARZUKI MOHAMAD – HARAKAHDAILY 6/6/2023

Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid0ENfVdFxVSM8wC5APoWqa5eqNdT57RYB8Sn15VX8Y5WJSJFsfPBBNCAjPQG1EytDdl&id=679581100&mibextid=Nif5oz 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -