Presiden Umno langgar sumpah ‘No Anwar, No DAP’

- Advertisement -

TANAH MERAH: “Bas cantik namun malangnya drebar pula bermasalah dengan membawa bas ke tempat yang tidak sepatutnya.

- Advertisement -

“Jadi saya tidak boleh lagi menjadi penumpang dan perlu keluar daripada bas yang dibawa pemandu terbabit,” kata bekas Timbalan Ketua Penerangan Umno Tanah Merah Zamzuri Ariffin.

Menurutnya ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 Presiden Umno Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi menyebut dengan lafaz sumpah ‘No Anwar, No DAP, No PKR’.

Bagaimanapun katanya selepas PRU15, apa yang pernah disebut ketika kempen dilanggar dengan mudah seolah-olah tidak pernah wujud lafaz sumpah.

Oleh itu menurutnya beliau tidak mampu lagi bersama dengan perjuangan Umno biarpun bersama dengan parti itu sejak usia muda lagi.

“Sekarang ambo istiqamah bersama perjuangan PAS. Ambo akan membantu PAS terutamanya di Dun Gual Ipoh bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.

“Kita hendaklah berpakat mendoakan semoga dapat kalahkan Umno dan Pakatan Harapan di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri di Kelantan pada PRN tidak lama lagi,” katanya ketika mengumumkan menyertai PAS malam tadi.

Sebelum itu beliau menyerah borang menyertai PAS kepada Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sempena ceramah Jelajah Ppakat Pertahan di Markas Tarbiah PAS Tanah Merah.

Pada simbolik penyerahan borang tersebut beliau menanggalkan songkok dan kemudian dipakaikan kopiah putih oleh Tuan Ibrahim. – HARAKAHDAILY 2/6/2023

- Advertisement -