PN tuntut MB Perak jelas isu pindah milik TRM

- Advertisement -

PIHAK Ahli Dewan Negeri PERIKATAN NASIONAL Perak hari ini menggesa pihak kerajaan di bawah kepimpinan YAB Dato Seri Saarani Muhammad untuk menjelaskan kedudukan Tanah Rizab Melayu Negeri Perak.

Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara, jumlah Tanah Rizab Melayu di Perak tidak mencapai 50 peratus daripada keluasan tanah negeri iaitu 953,075.79 Hektar hanya sekitar 45 peratus.Ini tidak bertepatan dengan Wasiat Raja-raja Melayu pada 5 Ogos 1957 yang memperuntukkan  keluasan Tanah Rizab Melayu yang perlu disimpan atau diisytiharkan adalah dengan nisbah 50 peratus.

Pihak Ahli Dewan Negeri PERIKATAN NASIONAL Perak juga menuntut penjelasan terhadap  kenyataan Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohammad dalam jawapan beliau kepada media pada 12 April 2023 yang lepas berkenaan Tanah Rizab Melayu (TRM) pemilikan bukan-Melayu. Pindah milik ini melibatkan satu lot TRM di Mukim Jaya Baru, Perak Tengah dan dua lot TRM di Mukim Setiawan, Manjung, yang keseluruhannya meliputi tanah seluas 3,214.084 hektar seperti yang telah termaktub didalam Laporan Ketua Audit Negara 2021.

Hal ini kerana, berdasarkan Enakmen Rizab Melayu Negeri-negeri Melayu Bersekutu Bab 142 (ERM 142) memperuntukkan sekatan sebagaimana berikut:

“Menyekat tanah kerajaan dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara jua pun kepada bukan-Melayu dan menyekat Tanah Pegangan Melayu daripada dibuat apa-apa urus niaga persendirian di antara Melayu dan bukan-Melayu.”

Usul tergempar yang dibawa oleh kepada Speaker Dewan Negeri Perak di bawah perintah tetap 21(1) dan 21(2) menuntut kepada perbahasan dan pendirian kerajaan mengenai status Tanah  Rizab Melayu (TRM) pemilikan bukan-Melayu yang perlu diperjelaskan kepada rakyat Negeri Perak, demi menjaga nama baik Kerajaan Negeri Perak dan mengelakkan kekeliruan serta pertikaian awam namun telah ditolak oleh Speaker Dewan Negeri Perak atas pertimbangan yang beliau telah nyatakan. 

Justeru, Ahli Dewan Negeri PERIKATAN NASIONAL Perak akan terus komited membawa isu ini dan menuntut pihak kerajaan untuk membentangkan satu Kertas Putih mengenai isu Tanah Rizab Melayu serta mengambil apa-apa tindakan yang perlu bagi membetulkan keadaan berikut, termasuklah kepada menggantikan TRM tersebut dengan lot yang sama nilai sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang. 

Pihak kami ADUN PERIKATAN NASIONAL Negeri Perak percaya tanah, sumber alam dan hasil bumi adalah hak milik Allah dan menjadi amanah kerajaanlah untuk memelihara dan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat. Pihak pembangkang akan memberikan komitmen 100 peratus untuk sentiasa memantau hal ini, memberikan kerjasama melalui jawatankuasa bipartisan dalam menuntut pihak kerajaan menjelaskan kepada rakyat daripada semasa ke semasa. 

Sekian, terima kasih.

YB RAZMAN ZAKARIA
Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak
Ahli Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan (Gunung Semanggol)
Timbalan Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Perak – HARAKAHDAILY 25/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -