Tiada dasar ekonomi baharu sejak PMX kemudi negara

Anwar dan Hamzah dalam sidang Parlimen Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada hari ini, 22 Mei 2023.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mempunyai dasar ekonomi baharu dan drastik yang dilaksanakan sejak Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengemudi pentadbiran negara di Putrajaya.

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, syarikat konglomerat dari dalam dan luar negara keliru terhadap usaha kerajaan bagi melonjakkan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Menurut beliau, pihak tersebut turut meminta langkah kerajaan untuk merancakkan sektor berkenaan dengan mengambil kira kebimbangan terhadap penguncupan ekonomi dunia ketika ini.

“Ini kerana ramai yang mengatakan tidak ada dasar ekonomi yang jelas, jadi mereka tertanya-tanya apakah dasar utama yang menjadi tunjang pembangunan ekonomi malaysia pada hari ini (sekarang).

“Belanjawan Madani yang diumumkan itu, bukan satu hala tuju sebenarnya kerana tidak mempunyai sasaran keberhasilan yang jelas,”  katanya pada Persidangan Dewan Rakyat di sini, pagi tadi.

Selain itu Hamzah berkata lagi, kekeliruan itu bertambah parah apabila kerajaan terus berdolak- dalik dalam masalah tender yang pernah diumumkan oleh kerajaan terdahulu, Perikatan Nasional (PN).

Beliau menegaskan, disebabkan keperluan mendesak projek tebatan banjir yang melibatkan beberapa buah negeri, seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor diluluskan secara tender terbuka.

Tambah Ahli Parlimen Larut itu, tindakan kerajaan mengubah daripada tender terbuka kepada kaedah fast track kemudian tender terhad menyebabkan banyak pihak keliru termasuk agensi pelaksana dan pelabur.

“Ketika keputusan untuk tidak mengadakan tender terbuka, tiba-tiba ada pulak yang mengatakan fast track akhirnya menjadi tender terhad. 

“Ini adalah menjadi sesuatu yang menyebabkan pelaksana sendiri keliru dan ini juga akan menjejaskan kepercayaan pelabur dari dalam dan luar negara sebagai contoh,” katanya.

Sebaliknya Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun menafikan wujud kekeliruan tersebut kerana membandingkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia, Vietnam dan China pada suku pertama tahun ini.

Malah katanya, ekonomi negara turut berkembang lebih kukuh unjuran Bank Negara serta kadar pengangguran semakin menurun pada suku keempat tahun lalu meskipun ada runggutan.

Selain itu pelaburan diluluskan pada suku pertama 2023 mencecah RM71.4 bilion, iaitu peningkatan 60 peratus pada suku pertama tahun lalu termasuk pelaburan Geely, Tesla dan sebagainya.

“Maknanya ada dasar yang jelas yang mereka ketahui, begitu juga disebut umpamanya tentang rungutan biasa kita dengar dan saya boleh terima tiada masalah.

“Penyelesaian bukan muktamad, saya boleh ambil kira dan boleh buat penyesuaian yang perlu kerana yang penting adalah menjana pertumbuhan lebih rancak,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2023

- Advertisement -