Muara sungai cetek sukar nelayan cari rezeki

- Advertisement -

TUMPAT: Muara sungai cetek dan berlumpur menyukarkan kira-kira 100 nelayan di beberapa kampung untuk keluar ke laut bagi mencari rezeki.

- Advertisement -

Masalah itu dihadapi nelayan di Pulau Timun, Pulau Suri, Pulau Che Soh dan Pulau Tongkang yang berlaku sejak lima tahun lepas.

Seorang nelayan Mohd Asri Abdullah, 49,,dari Kampung Pantai Suri berkata, masalah tersebut berlaku sejak lima tahun lalu dan terus berulang selepas musim tengkujuh.

Katanya, pasir yang dibawa ombak kuat pada musim tengkujuh menyebabkan muara menjadi cetek ketika musim kemarau.

“Kami mencadangkan kerajaan membina benteng penahan ombak bagi menghalang kemasukan pasir secara berterusan setiap kali musim tengkujuh sehingga menjejaskan kedalaman sungai.

“Ombak besar pada musim tengkujuh membawa sekali pasir ke muara sungai. Pada pandangan kami kalau ada benteng pemecah ombak, pasir yang dibawa ombak tidak lagi mendap di muka kuala,” katanya ketika ditemui di sini.

Aziz Ismail, 57, (foto bawah) dari Kampung Kuala Besar memberitahu kuala yang terletak di Kampung Pulau Nik Mat merupakan laluan utama penduduk dan nelayan untuk ke Tumpat.

Menurutnya kuala tersebut hanya boleh dilalui ketika air pasang menggunakan fiber kecil bagi mengurangkan risiko terlanggar beting pasir.

“Tetapi musim kemarau sekarang tidak boleh lalu langsung. Kami meminta kerajaan bina benteng pemecah ombak bagi mengelakkan pasir masuk ke kuala sungai,” ujarnya.

Katanya juga buat sementara waktu nelayan terpaksa menggunakan laluan jauh sehingga tiga jam untuk sampai ke laut melalui Pulau Beluru, Pulau Renjuna, Pulau Dollah dan Kuala Besar. – HARAKAHDAILY 17/5/2023

Berita lanjut Harakah edisi cetak keluaran Jumaat ini.

- Advertisement -