LANGKAH Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Kerajaan Madani sangat mengecewakan umat Islam negara ini apabila menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes kalimah Allah. Dalam erti kata lain, rayuan tersebut tidak diteruskan sehingga akhir kes supaya mahkamah membuat keputusan atas semua pertimbangan dan hujahan.
Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021 memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran. Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia semasa pentadbiran PERIKATAN NASIONAL telah memfailkan Notis Rayuan pada 12 Mac 2021 bagi mempertikai keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
Sehingga ke saat ini, tiada penjelasan diberikan oleh Kerajaan Madani melalui KDN di sebalik penarikan balik rayuan tanpa konsultasi Jemaah Menteri termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), memandangkan berdasarkan laporan media, KDN hanya memaklumkan Jemaah Menteri melalui nota sahaja.
Muslimat PAS turut mempersoalkan adakah KDN telah merujuk institusi diraja terlebih dahulu, sebagai Ketua Agama Islam dalam isu besar melibatkan umat Islam? Adakah KDN telah melaksanakan konsultasi dengan pemegang taruh melibatkan institusi-institusi agama Islam sebelum memutuskan untuk menarik balik rayuan?
Kerajaan Madani tidak sepatutnya meremehkan isu besar umat Islam dengan mengesampingkan pendapat pemegang taruh termasuk institusi diraja. Malah, perasaan umat Islam langsung tidak diambil kira, seolah-olah isu ini hanya picisan yang bisa dilupakan.
Muslimat PAS begitu terkilan dengan penarikan balik rayuan ini yang membuktikan bahawa Kerajaan Madani bukanlah Kerajaan yang boleh dijadikan sandaran harapan umat Islam negara ini.
USTZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
Bertarikh: 17 Mei 2023/ 26 Syawal 1444 – HARAKAHDAILY 17/5/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!