Isu kalimah Allah: Kepentingan Islam cuba dirobohkan

Jelas sikap hipokrit dan sandiwara Kerajaan PH pertahan Islam

- Advertisement -

SUSULAN perkembangan terbaharu isu penggunaan kalimah Allah di Malaysia, Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan Kerajaan PH-BN yang menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah dalam isu ini.

Usaha yang dibuat oleh Kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) sebelum ini bagi melindungi kepentingan Islam, nampaknya mulai dirobohkan oleh Kerajaan PH yang ada sekarang. Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (1) secara jelas menyatakan Islam ialah agama rasmi Persekutuan, nampaknya kekuatan ini sedang dilapah dengan rakusnya oleh rejim pemerintahan yang ada sekarang. 

Jelas sekali Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersikap hipokrit dan sandiwara kononnya mempertahankan agama Islam dan Perlembagaan Persekutuan sedangkan

realiti sebaliknya. Hal ini samalah seperti episod terdahulu ketika melabelkan banyak pihak sebagai kaki rasuah dan marah dengan penyalahgunaan kuasa. Namun ketika berkuasa, Kerajaan PH sanggup menjilat semula air liur basi ini demi mempertahankan kuasa yang rapuh itu. 

DUPWP menyeru seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam untuk bangkit membuat bantahan terutama dalam media sosial masing-masing untuk membuktikan bahawa kita masih ada urat nadi sensitif dengan Islam apabila dicabul sedemikian rupa selain menterjemahkan protes masing-masing dengan menolak dan tidak sesekali memberikan undi kepada calon-calon dari PH-BN dalam pilihanraya di enam buah negeri kelak.

Orang Islam di negara ini perlu ingat, ini merupakan Nakhbah atau malapetaka dahsyat sedang melanda ummah di Malaysia. Manakala PH-BNlah yang terlibat dalam membuka akan pintu fitnah ini. Entah apa akan berlaku pada nasib anak cucu kita nanti pada zaman mereka. Apakah masih selamat aqidah mereka di saat itu?

USTAZ DR. AZAHAR YAAKUB 
Ketua Dewan Ulamak
PAS Wilayah Persekutuan – HARAKAHDAILY 17/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -