Kalimah Allah: Kerajaan gagal pertahan kesucian Islam

- Advertisement -

KERAJAAN Madani pada hari ini sekali lagi telah menunjukkan kebaculan mereka, apabila menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan untuk merayu bagi kes ini, sebelum ini, telah dibuat oleh Kerajaan PERIKATAN NASIONAL bagi memelihara kesucian kalimah Allah dan sensitiviti terhadap umat Islam di negara ini. Ia juga selaras dengan titah DYMM Sultan Selangor melalui Kenyataan Akhbar baginda pada 23 Mac 2021. Kenyataan DYMM Sultan Selangor juga menyokong penuh titah DYMM Sultan Johor yang meminta Kerajaan Persekutuan untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi tersebut.

Melihat kepada perkara ini, Kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Tinggi dengan memasukkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 12 Mac 2021. Namun, pada 18 April 2023, satu Notis Pemberhentian telah dimasukkan oleh Kementerian Dalam Negeri. Menurut kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution dalam kenyataan beliau hari ini, keputusan menarik balik kes ini adalah keputusan Kementerian Dalam Negeri dan telah dimaklumkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Ternyata, Kerajaan Madani hari ini tampak terlalu terdesak untuk meraih sokongan bukan-Islam menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlaku melibatkan enam buah negeri. Tindakan penarikan semula rayuan penggunaan kalimah Allah ini membuktikan mereka tidak mengambil berat isu sensitiviti umat Islam di Malaysia, bahkan sanggup melanggar dan menderhakai titah Sultan Selangor dan Sultan Johor yang mahukan rayuan terhadap kes ini diteruskan. Jelas, Sultan dan Raja-raja Melayu, selaku ketua agama Islam di negeri Baginda, amat risau dan mengambil berat akan soal ini dalam memelihara akidah umat Islam di negeri mereka. Malangnya, dengan tanpa segan silu, kerisauan Baginda-baginda tidak dipedulikan, malah dilanggar oleh Kerajaan Madani. 

Tindakan ini juga bakal mengundang ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk, yang hidup berpaksikan hormat menghormati antara agama dan ajaran masing-masing. Keputusan ini sudah pasti mengguris perasaan seluruh umat Islam di Malaysia, serta mengundang kepada kepincangan dan ketidakharmonian kaum. 

Sudah tiba masanya umat Islam di Malaysia melihat bagaimana tidak seriusnya Kerajaan Madani gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional, dalam menguruskan kemajmukan masyarakat serta memelihara kesucian agama Islam sebagai agama Persekutuan. Biarlah sejarah mencatat kegagalan ini sebagai ‘sumbangan’ dari Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

USTAZ AFNAN HAMIMI DATO’ TAIB AZAMUDDEN
Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Alor Setar – HARAKAHDAILY 16/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -