Perkembangan terbaharu isu kalimah Allah

- Advertisement -

SAYA menerima maklum laporan akhbar Berita Harian bertarikh 15 Mei 2023 bertajuk ‘Kabinet sudah maklum KDN tarik balik rayuan penggunaan kalimah Allah’.

Saya tegaskan di sini bahawa keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2008 telah memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain.

Paling utama, keputusan untuk rayuan semula kes pada tahun 2021 adalah bagi menjunjung titah KDYMM Sultan Johor dan KDYMM Sultan Selangor, yang menitahkan Kerajaan Persekutuan pada ketika itu membuat rayuan semula bagi keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Tidak sedikit jerih payah yang dikerah oleh para Ashabus Samahah Mufti serta Jawatankuasa Muzakarah MKI untuk berbincang, pertemuan demi pertemuan dengan NGO, dan penyusunan kertas penghujahan yang melibatkan ramai pakar dan tokoh akademik.

Rayuan tersebut diangkat semasa saya menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ia dibuat atas dasar kesedaran akan keperluan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah, dan Solat kekal menjadi milik umat Islam di Malaysia. Setelah segalanya lengkap, saya bentangkannya dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan proses rayuan oleh Kerajaan Persekutuan terdahulu melalui Kementerian Dalam Negeri dimulakan. 

Saya amat berharap Kerajaan Madani melalui Kementerian Dalam Negeri ada jawapannya. Ini kerana YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail selaku Menteri Dalam Negeri memaklumkan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat berhubung isu kepentingan umat Islam ini.

Saya dengan rendah diri serta mengharapkan pertolongan Tuhan menyatakan dengan tulus berdasarkan kalam Allah,

- Advertisement -

إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

“Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.”

(Surah Hud: 88)

DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Isnin
15 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 15/5/2023

- Advertisement -