Coldplay simbol LGBT: Hormati sensitiviti Muslim

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَلَنْ تَرْضٰى عَنْكَ الْيَهُوْدُ وَلَا النَّصٰرٰى حَتّٰى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ اِنَّ هُدَى اللّٰهِ هُوَ الْهُدٰى ۗ وَلَىِٕنِ اتَّبَعْتَ اَهْوَاۤءَهُمْ بَعْدَ الَّذِيْ جَاۤءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللّٰهِ مِنْ وَّلِيٍّ وَّلَا نَصِيْرٍ.

“Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepadamu (wahai Muhammad) sehinggalah engkau mengikuti agama mereka. Katakanlah (wahai Muhammad), “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya).” Dan jika engkau mengikuti keinginan mereka setelah ilmu (kebenaran) sampai kepadamu, tidak akan ada bagimu pelindung dan penolong dari Allah”.

(Al-Baqarah: 120)

Kita dikejutkan dengan jadual kehadiran Coldplay untuk mengadakan persembahan di negara kita. Atas alasan kebebasan dan daya penarik ekonomi, Kerajaan Malaysia Madani menjemput ia ke negara kita. Namun dalam masa yang sama dilupakan latar belakang sebenar Coldplay adalah merupakan simbol LGBT dunia. Kehadirannya bukan hanya memperkenalkan Malaysia kepada pihak luar, namun kesan negatif daripada simbol LGBT akan mengakibatkan mereka yang berperwatakan sedemikian akan merasa lebih bebas dan terhormat.

Islam mengajar kita agar berusaha mengelakkan kemudaratan dan kemurkaan Allah S.W.T. Langkah pendidikan dan pentarbiyahan yang bersepadu seharusnya diambil untuk berhadapan dengan golongan yang belum memahami agama Islam secara mendalam, bukanlah dengan cara memberikan kebebasan atas alasan hak asasi atau lainnya. Ini bagi mengelakkan kesan negatif daripada sesuatu tindakan tersebut yang akan tersebar kepada masyarakat umum khasnya muda mudi Islam.

Sebagai sebuah Gerakan Islam yang prihatin dan mengambil berat mengenai tatasusila, PAS Johor mengambil pendekatan memberikan nasihat dan teguran kepada Kerajaan PH-BN agar dapat menghormati sensitiviti masyarakat Islam yang merupakan penduduk majoriti di Malaysia.

Ini kerana penganjuran konsert secara terbuka dan besar-besaran hanya akan membuka ruang kepada penyertaan masyarakat Islam sedangkan ianya jelas bercanggah dengan Syariat Allah S.W.T dan boleh mengundang kemurkaan-Nya.

Justeru PAS Johor menggesa pihak Kerajaan Malaysia Madani agar dapat membuat ketetapan baharu dengan membatalkan konsert tersebut selari dengan nama madani yang merujuk kepada pentadbiran yang luhur dan murni menepati kehendak syariat. Sama-sama kita berganding bahu dalam melakukan amar maaruf nahi munkar semoga Malaysiaku Sejahtera di dalam rahmat Allah S.W.T.

“Malaysia Sejahtera”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI, 
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor
24 Syawal 1444
15 Mei 2023 – HARAKAHDAILY 15/5/2023

- Advertisement -