‘Tuanku sebut kami dipilih rakyat, hormati pilihan rakyat’

Tuan Ibrahim (lapan dari kanan) bersama wakil rakyat PN ketika mengadakan mesyuarat sebelum bermulanya sidang media berkenaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang dan persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pejabat Sekretariat Perikatan Nasional (PN) negeri, semalam.
- Advertisement -

KUANTAN: Titah Pemangku Raja Pahang,Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu kerajaan negeri memberikan peruntukan adil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang PERIKATAN NASIONAL (PN) disifatkan satu arahan kepada kerajaan.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, susulan titah itu, penyaluran semula peruntukan yang sebelum ini dinafikan perlu dilaksanakan kerajaan negeri.

Katanya, malah kesemua ADUN pembangkang bersetuju dan menyokong peruntukan kerana mereka juga berhak menerima peruntukan sama seperti wakil rakyat lain.

“Kita merakam penghargaan yang tinggi kepada Tuanku. Secara tak langsung, satu arahan dikeluarkan kepada pihak kerajaan supaya menyalurkan peruntukan kepada semua ADUN.

“Tuanku sebut, kami (ADUN pembangkang) dipilih oleh rakyat dan hormati pilihan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkenaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan persiapan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pejabat Sekretariat Perikatan Nasional (PN), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosli Abdul Jabar dan beberapa pemimpin PAS dan Parti Peribumi Bersatu (Bersatu) Pahang.

Pada 3 Januari lalu, ADUN pembangkang mendakwa yang dianaktirikan kerajaan Pahang selepas tidak menerima sebarang peruntukan.

Pada persidangan DUN semalam, Tengku Hassanal menitahkan supaya kerajaan negeri memberikan peruntukan adil kepada ADUN pembangkang.

Baginda bertitah, kerajaan perlu raikan pembangkang kerana mereka juga telah dipilih oleh rakyat dan peruntukan yang adil perlu diberikan kepada mereka

Tuan Ibrahim yang juga ADUN Cheka itu menambah, kerajaan negeri perlu mengambil perhatian serius  terhadap titah Tengku Hassanal dalam menyalurkan peruntukan pembangkang bagi tujuan pusat khidmat dan pembangunan projek kecil di kawasan DUN.

Jelasnya, peruntukan itu sangat penting kepada wakil rakyat terutamanya dalam menyelesaikan pelbagai isu dalam kawasan seperti bencana dan sebagainya.

“Kita katakanlah, jika berlaku ribut di suatu kawasan, mangsa akan datang ke pusat khidmat, jadi dana perlu disalurkan segera.

“Bukan salur secara terus kepada ADUN, ia disalurkan kepada pejabat daerah, cuma geran sahaja kita minta diserahkan kepada kita. Bukan dalam bentuk wang tunai.

“Tapi semua projek segera itu akan diaudit termasuk peruntukan RM5,000 bagi sumbangan hari raya sebelum ini, kami sediakan laporan lengkap supaya tidak timbul berlakunya penyelewengan,” katanya yang juga Timbalan Presiden PAS.

Sementara itu, Rosli pula memberitahu, kali terakhir ADUN pembangkang menerima peruntukan daripada kerajaan negeri adalah pada 2019 dan 2020.

Menurutnya, penerimaan peruntukan itu dibuat ketika PAS dan Barisan Nasional berada di bawah Muafakat Nasional (MN).

“Ketika itu, kami ada peruntukan sebagaimana ADUN lain. Tapi ia terhenti selepas PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka dan Johor sehinggalah sekarang.

“Kami tidak dimaklumkan secara rasmi mengapa peruntukan itu tidak disalurkan, namun kami diberitahu ia (peruntukan) disalurkan kepada penyelaras DUN.

“Tapi kami tidak tahu siapa penyelaras itu. Justeru dalam sidang dewan ini nanti, kami akan minta pihak kerajaan negeri supaya memberi senarai nama penyelaras itu,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2023

- Advertisement -