Majoriti umat Melayu-Islam masih bersama PN

- Advertisement -

BERAKHIRNYA tidak berapa lama lagi bulan Syawal iaitu bulan Hari Raya khasnya bagi umat Islam di negara kita, rakyat Malaysia di enam buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan berhadapan dengan satu lagi ‘Raya’ iaitu Pilihan Raya Umum Negeri ke-15 buat negeri masing-masing.

Tiga buah negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu merupakan negeri PERIKATAN NASIONAL (PN) manakala tiga lagi milik PH-BN. 

Pilihan Raya Negeri kali ini akan menguji sejauh mana masih bertenaga ‘Gelombang Hijau’ yang telah membadai seluruh pelosok Tanah Semenanjung dalam PRU Parlimen ke-15 baru-baru ini, memungkinkan PN menguasai lebih 56 peratus undi Melayu menjadikan ia jurucakap umat Melayu Islam di Parlimen menggantikan Umno.

Sekiranya ia masih bergelora, PN akan menjadi ancaman buat gabungan PH-BN di keenam-enam buah negeri.

Kerana itu pelbagai usaha dilancarkan oleh pihak PH-BN untuk memberi persepsi kononnya gelombang yang telah merubah landskap politik tanah air itu kini telah lesu.

Untuk berlaku jujur, kita perlu akui bahawa kesan rempuhan kuat ‘Gelombang Hijau’ itu telah mengakibatkan hampir kebanyakan kerusi-kerusi Parlimen Melayu Islam disapu oleh PAS dan BERSATU. Kerusi-kerusi berkenaan selama ini dikuasai PH-BN.

Bagi Umno contohnya, kesan dari asakkan ‘Gelombang Hijau’ tadi hari ini ia cuma tinggal 26 kerusi Parlimen, iaitu rekod terburuk buat Umno dalam sejarahnya. Ramai pemimpin kanannya kecundang dan Umno hari ini tiada langsung wakil Parlimen di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Melaka.

Kerusi-kerusi tradisi Umno yang tidak pernah kalah dalam 14 kali Pilihan Raya hari ini roboh dan menjadi milik PN antaranya Padang Besar, Kepala Batas, Grik, Jasin, Tanjong Karang.

Mampukah Umno bangkit kembali dalam keadaan demikian tambahan kini ia terdesak menjalin hubungan pula dengan PH-DAP yang tidak dapat diterima oleh akar umbinya sendiri?

PAN juga cuba menyembunyikan bahawa ia turut terkesan teruk dari ‘Gelombang Hijau’ ini. PAN yang kononnya semasa penubuhannya dahulu mendabik dada mahu menggantikan PAS, hari ini cuma berbaki 8 kerusi di Parlimen, itupun sebahagiannya dimenangi hasil dari sokongan dan undi masyarakat bukan-Melayu.

Tokoh-tokoh besar PAN yang lantang di Parlimen dahulu seperti Dr Hatta Ramli, Mahfuz Omar, Khalid Samad dan Mujahid Yusof Rawa kalah di kawasan masing-masing.

PKR tidak terkecuali ‘tercedera’ kesan dari tsunami ini. Kerusi Parlimen Permatang Pauh yang merupakan kerusi keramat PKR, kerusi ‘keluarga Anwar Ibrahim’ dirampas oleh PAS. Setiausaha Agung PKR turut kecundang di Kulim Bandar Baru.

Umno dan PAN seakan berubah menjadi harimau tidak bertaring dan berkuku pasca PRU Parlimen ke-15. 

Ramai malah menjangkakan kiranya mereka terus dipukul ‘Gelombang Hijau’ dalam PRN enam negeri kali ini, maka riwayat politik mereka berkemungkinan menemui noktahnya.

Dalam akhbar The Sunday Star baru-baru ini (30 April, 2023) dua orang penganalisa politik iaitu Prof Dr Sivamurugan Pandian dari USM dan Dr Azmi Tayeb memberikan pandangan yang cukup menarik dari hal perkembangan politik semasa khasnya yang melibatkan PN dan lawannya PH-BN.

Kata Dr Sivamurugan, PH-BN perlu sangat pada undi Melayu untuk menewaskan PN dan ianya bukan sesuatu yang mudah. Ternyata anak-anak muda Melayu telah menolak PH dan BN dalam PRU ke-15 lalu, sedangkan golongan muda ini satu ketika dahulu merupakan penyokong PKR.

Dr Sivamurugan mengakui bahawa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor contohnya kini adalah seorang figura politik yang cukup popular dan PH-BN setakat ini gagal menampilkan tokoh yang boleh menyaingi ketokohan Sanusi.

Menyerang Sanusi yang popular bukan sahaja di kalangan anak-anak Kedah, tetapi hari ini turut menjalar menjadi idola anak-anak Melayu di mana-mana, akan hanya meningkatkan simpati dan sokongan buat beliau.

Strategi dan pendekatan politik Sanusi menurut Dr Sivamurugan meletakkan PH-BN di pihak yang bertahan.

Dr Azmi pula menyatakan bahawa melebel PAS sebagai sebuah parti ekstremis, sebagaimana sering didakwa DAP, tidak akan mendatangkan kesan kerana Umno sendiri pernah bekerjasama dengan PAS. Kalau PAS ekstremis mengapa Umno bekerjasama dengannya dahulu?

Tambah beliau menggunakan isu ekonomi dan rasuah sebagai bahan kempen juga sukar kerana tiada apa pencapaian yang boleh Umno bukti atau tunjukkan.

Menurut Dr Azmi lagi untuk memenangi undi Melayu di kawasan-kawasan Melayu adalah sangat sukar buat PH-BN kali ini. Umno itu sendiri dakwanya perlu berubah dan direformasikan.

Jika demikianlah pandangan para penganalisa politik yang kepakarannya diakui, ternyata ‘Gelombang Hijau’ PRU Parlimen ke-15 itu masih bertenaga dan memiliki kemampuan menguasai undi Melayu Islam untuk PRN enam buah negeri nanti.

Musim Hari Raya ini, digunakan sepenuhnya oleh PH-BN untuk mempengaruhi rakyat, pastinya dengan harapan untuk mengawal dan mematahkan asakkan ‘Gelombang Hijau’ yang sangat mereka bimbangkan itu.

Di Kedah umpamanya, sewaktu Rumah Terbuka mereka, Datuk Seri Anwar dan Saifuddin dengan lantang mengajak rakyat menolak kerajaan negeri PAS-PN dalam PRN negeri nanti. 

Kelantangan mereka ini dijadikan bahan senda oleh anak-anak muda di media sosial, umpamanya dipaparkan bagaimana Saifuddin mahu menangkan PH-BN di Kedah sedangkan beliau sendiri baru sahaja kecundang di kerusi Kulim Bandar Baru, ditewaskan dengan majoriti besar 13,061 undi.

Begitu juga Mahfuz Omar dari PAN yang mendesak agar Menteri Besar Sanusi dan PN ditolak, Mahfuz sendiri tertiarap di kerusi Parlimen Pokok Sena dengan majoriti 31,751 undi.

Sesungguhnya mesej yang ingin dibawa oleh ‘Gelombang Hijau’ ini adalah bahawa umat Melayu Islam ini kuat dan ramai. Untuk memastikan kekuatan itu dimanfaatkan menjadi kuasa politik yang ampuh dan boleh menguasai kerajaan maka perlulah ia bersatu. Ia menobatkan politik ummah yang jika gagal dibina akan mengakibatkan umat Melayu Islam terpinggir sedangkan mereka majoriti di tanah air sendiri.

Bertindaklah dengan bijak, jangan sesekali menggadaikan maruah, nasib dan masa depan kita.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR 
Setiausaha 
Badan Perhubungan PAS
Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 4/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -