Arsenal kembali ke puncak, atasi Chelsea 3-1

Gabriel Jesus merembat gol ketiga Arsenal
- Advertisement -

Arsenal kembali ke puncak Liga Perdana, semalam, hasil kemenangan 3-1 ke atas Chelsea melalui dua jaringan Martin Odegaard dan satu lagi oleh Gabriel Jesus.

Namun, Manchester City di tangga kedua tetap menjadi pilihan utama untuk ditabalkan sebagai juara kerana bermain kurang dua perlawanan, berbanding Arsenal.

- Advertisement -

Arsenal mendahului 3-0 pada separuh masa pertama apabila kapten Odegaard diberi ruang sebanyak dua kali oleh pertahanan longlai Chelsea untuk menjaringkan gol pada minit ke-18 dan ke-31. Gabriel Jesus menyempurnakan gol dari jarak dekat, 11 minit sebelum rehat.

Kemenangan ini membawa Arsenal kepada 78 mata, dua lebih banyak daripada City. Namun sebagai juara bertahan, City mampu merampas semula kedudukan teratas apabila melayan kunjungan West Ham United, hari ini.

Granit Xhaka yang merancang kedua-dua jaringan Odegaard, hampir membuka jaringan sendiri pada minit pembukaan tetapi dihalang oleh Kepa Arrizabalaga.

“Semua orang terluka selepas perlawanan (menentang City). Kami melepaskan kemarahan dan kekecewaan dalam perlawanan ini,” kata Odegaard yang dua jaringannya menjadikan jumlah gol keseluruhannya kepada 14.

Chelsea pula tewas dalam enam perlawanan semua pertandingan sejak jurulatih sementara, Frank Lampard, menggantikan Graham Potter bulan lalu, suatu pencapaian yang suram untuk kelab yang dinobatkan sebagai juara Eropah, dua tahun lalu.

Namun, kelab itu sekurang-kurangnya berjaya menjaringkan gol kedua dalam lapan perlawanan apabila Noni Madueke merembat bola melepasi Aaron Ramsdale pada minit ke-65 untuk gol pertamanya sejak menandatangani kontrak dari PSV Eindhoven, Januari lalu.

Pemilik Chelsea di Amerika Syarikat yang membelanjakan lebih 500 juta Pound (AS$623 juta) untuk pemain sejak membeli kelab itu hampir setahun lalu, dijangka menamakan bekas bos Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino sebagai jurulatih tetap baharu mereka musim depan. – REUTERS

- Advertisement -