Hari Pekerja: Sejarah dan panduan Islam

- Advertisement -

INGINKAN kebebasan

Tarikh 1 Mei telah diisytiharkan sebagai Hari Pekerja. Di sebalik pengisytiharan Hari Pekerja ini, terdapat noktah hitam yang wajar dilihat dan diteliti oleh generasi sekarang. 

Dalam sejarah, kemunculan kapitalisme bertitik tolak daripada pemikiran liberalisme klasik. Golongan Barat yang telah dihantui dengan Fasa Dark Ages selama 1,000 tahun, mengorak langkah untuk ‘membebaskan’ diri mereka daripada kongkongan itu.

Perjuangan kebebasan yang dilaungkan oleh mereka tanpa panduan wahyu, menyebabkan perjuangan itu akhirnya terheret kepada krisis pemikiran yang menyesatkan.

Antara perjuangan mereka ialah kebebasan dengan istilah ‘liberalisme’. Dari situ, timbul wacana baru mengenai maksud ‘kebebasan’. Satu aliran menafsirkannya dengan maksud positive liberty, dan satu aliran lagi menafsirkan dengan maksud negative liberty.

Liberalisme klasik menggunakan istilah ‘negative’ merujuk kepada bebas daripada apa sahaja. Di sinilah lahirnya teori yang mencetuskan Pemikiran Kapitalisme. [1]

Kapitalisme dan penindasan

Asalnya ingin memperjuangkan kebebasan, akhirnya sistem yang lahir daripada pemikiran Kapitalisme mencetuskan penindasan demi penindasan. Penindasan yang dimaksudkan ialah terhadap golongan pekerja.

Penindasan terhadap golongan pekerja ini telah mencetuskan pemikiran Sosialisme yang dikepalai oleh Karl Marx. Kesan dari situ, berlakunya kebangkitan golongan pekerja di negara-negara Eropah. [2]

Antaranya, kebangkitan menuntut had waktu bekerja selama 8 jam, daripada 14 jam hingga 16 jam sehari. Kebangkitan ini terjadi pada 1 Mei 1886 yang menghimpunkan seramai 400,000 orang. [3]

Selepas perhimpunan itu, berlaku insiden di Haymarket. Dalam insiden tersebut, 8 orang anarkis dan sosialis ditangkap untuk disoal siasat. Akhirnya 7 orang daripada mereka dijatuhkan hukuman mati.

Sebagai memperingati peristiwa ini, kesatuan sosialis dan parti pekerja Eropah mengadakan demonstrasi pada 1890 di London, melibatkan lebih 300,000 orang. Bermula peristiwa inilah 1 Mei itu diisytiharkan sebagai Hari Pekerja. [3]

Walaupun sejarahnya begitu, namun, tiada larangan dalam Islam untuk meraikannya dengan bercuti di seluruh Malaysia. Bahkan, Islam lebih prihatin dalam memperkatakan hak pekerja dengan garis panduan daripada Rasulullah S.A.W.

Hak pekerja dalam Islam

Nabi S.A.W bersabda;

- Advertisement -

وَلاَ تُكَلِّفُوهُمْ مَا يَغْلِبُهُمْ، فَإِنْ كَلَّفْتُمُوهُمْ فَأَعِينُوهُمْ

“Janganlah kamu membebankan mereka (hamba), dan jika kamu memberikan tugas kepada mereka, bantulah mereka.” 

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menggesa agar tidak membebankan pekerja di luar kemampuannya sehingga menyebabkan seseorang itu tidak mampu melakukan tugas dengan sebaiknya. Namun, jika tugasan itu terpaksa dilakukannya, perlulah bantu mereka.

Sebab itulah, berdasarkan sejarah kebangkitan golongan pekerja yang dinyatakan tadi, bebanan kerja yang terlalu tinggi sehingga 16 jam sehari.

Begitu juga kenaikan pangkat dan peningkatan tangga gaji perlu dilakukan seadilnya, bukan atas dasar pilih kasih. Sebaliknya dilakukan mengikut kelayakannya.

Di dalam Hadis yang lain, Nabi S.A.W bersabda;

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

“Umat Islam wajib mematuhi persyaratan yang telah mereka sepakati.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan Hadis ini, Nabi S.A.W menggesa agar hak pekerja itu ditunaikan, contohnya cuti mengikut persepakatan dan terma perjanjian antara pekerja dan majikan. Jika sesuatu terma itu sudah disepakati, maka ia hendaklah ditunaikan mengikut kesepakatan serta tidak memungkirinya.

Kesimpulan

Banyak lagi hak pekerja yang perlu diteliti oleh para majikan. Dalam masa yang sama, para pekerja juga bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah yang ditugaskan.

Upah atau gaji yang diterima hendaklah dipastikan berkat di sisi Allah, dengan komitmen yang dilakukan. Jangan berlakunya amalan ‘curi tulang’ atau apa sahaja perbuatan yang mengikis keberkatan itu.

Isunya bukan pada sambutan Hari Pekerja atau cutinya, akan tetapi yang diutamakan ialah menunaikan hak sesama manusia tanpa mengira pekerja atau majikan selaras dengan Sabdaan Baginda S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud tadi.

Di sinilah kita perlu sedar, ideologi Barat tidak melahirkan penyelesaian masalah. Mereka berteori untuk menyelesaikan masalah mereka, tetapi mencetuskan masalah yang baru.

Hal ini terjadi kerana mereka semata-mata bergantung pada keupayaan akal mereka, tanpa panduan wahyu. Sebab itulah wahyu itu memandu manusia agar berfikir dengan betul.

MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak
PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 1/5/2023

Rujukan:

[1] https://www.facebook.com/100000953077134/posts/pfbid0RkPB8ktP6gdUidqoKJxyptX67bPrLq9BKXEAsyVuj5giWhdCeiXbddRiKXFcwUYjl/?d=n 

[2] Dialog Agama dan Faham Kiri, Mohd Nasir bin Mohd Tap.

[3] https://www.thepatriots.asia/sejarah-sambutan-hari-pekerja/ 

- Advertisement -