Menelusuri kisah agung surah al-Kahfi (9)

- Advertisement -

NABI Khidir sangat masyhur dengan gelaran ‘Al-Khidir’ kerana;

(2) Beliau berpakaian warna hijau di mana warna tersebut merupakan warna ahli syurga, dan

(2) Pernah beliau berada di suatu tempat, tempat tersebut berubah menjadi hijau serta pokok-pokok mulai tumbuh dan menjalar [1].

Petunjuk melalui ikan dilupakan

- Advertisement -

وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِفَتَىٰهُ لَآ أَبْرَحُ حَتَّىٰٓ أَبْلُغَ مَجْمَعَ ٱلْبَحْرَيْنِ أَوْ أَمْضِىَ حُقُبًا

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada muridnya: “Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua buah lautan; atau aku akan berjalan sampai bertahun-tahun.” (60)”

Ada seorang lelaki yang bertanya kepada Nabi Musa A.S mengenai adakah ada orang yang lebih berilmu daripadanya. Kebolehan Nabi Musa adalah berbicara dengan Allah S.W.T secara langsung. Berbeza dengan Nabi-nabi lain yang menerima wahyu melalui perantaraan malaikat Jibril.

Nabi Musa menafikannya kerana Baginda merasakan bahawa dirinya lebih berilmu. Jawapannya itu ditegur oleh Allah. Mungkin Baginda lupa akan hakikat bahawa ilmu itu adalah milik-Nya. Allah memberitahu bahawa ada orang yang lebih berilmu daripadanya. Orang itu dapat ditemui di tepi pantai berhampiran dengan tempat pertemuan dua laut. 

Nabi Musa diperintahkan untuk membawa bekalan ikan di dalam sebuah bakul. Sekiranya tiba di suatu tempat di mana ikan tersebut hidup semula, ia akan menggelepar dan masuk ke dalam air. Maka, di situlah Nabi Musa akan bertemu dengan orang yang lebih berilmu. 

Lalu, Nabi Musa keluar berjalan bersama temannya yang bernama Yusha bin Nun ke tempat pertemuan dua laut (nama tempat tidak disebut di dalam al-Quran). Yusha’ akhirnya menjadi Nabi setelah kewafatan Nabi Musa. Ulama’ berpandangan bahawa tempat itu adalah antara Teluk Aqaba dan Teluk Suez:

فَلَمَّا بَلَغَا مَجْمَعَ بَيْنِهِمَا نَسِيَا حُوتَهُمَا فَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُۥ فِى ٱلْبَحْرِ سَرَبًا

“Maka tatkala mereka sampai ke pertemuan dua buah laut itu, mereka lalai akan ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu. (61)”

Akibat letih dalam perjalanan yang jauh, mereka berdua berhenti seketika untuk berehat lalu terlena. Pada ketika itulah, ikan hidup semula, menggelepar dan menggelongsor masuk ke dalam laut. Setelah bangun, mereka lupa akan ikan itu dan meneruskan perjalanan:

فَلَمَّا جَاوَزَا قَالَ لِفَتَىٰهُ ءَاتِنَا غَدَآءَنَا لَقَدْ لَقِينَا مِن سَفَرِنَا هَٰذَا نَصَبًا

“Maka tatkala mereka berjalan lebih jauh, berkatalah Nabi Musa kepada muridnya: “Bawalah ke mari makanan kita; sesungguhnya kita telah merasa letih kerana perjalanan kita ini.” (62)”

Apabila terasa lapar, mereka berdua ingin menjadikan bekalan ikan yang dibawa itu sebagai makanan tengah hari. Lalu, mereka baru sedar yang ikan sudah pun tiada:

قَالَ أَرَءَيْتَ إِذْ أَوَيْنَآ إِلَى ٱلصَّخْرَةِ فَإِنِّى نَسِيتُ ٱلْحُوتَ وَمَآ أَنسَىٰنِيهُ إِلَّا ٱلشَّيْطَٰنُ أَنْ أَذْكُرَهُۥ وَٱتَّخَذَ سَبِيلَهُۥ فِى ٱلْبَحْرِ عَجَبًا

“Muridnya menjawab: “Tahukah kamu tatkala kita mencari tempat berlindung di batu tadi, maka sesungguhnya aku lupa (menceritakan mengenai) ikan itu dan tidak ada yang membuat aku lupa untuk menceritakannya kecuali syaitan dan ikan itu mengambil jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali.” (63)”

Temannya lupa untuk mengingatkan kepada Nabi Musa mengenai peristiwa yang berlaku semasa mereka berehat. Nabi Musa juga lupa untuk bertanya. Temannya meyakini bahawa yang menjadikannya lupa adalah disebabkan oleh gangguan syaitan. Syaitan memang suka mengganggu kerja-kerja yang baik:

قَالَ ذَٰلِكَ مَا كُنَّا نَبْغِ فَٱرْتَدَّا عَلَىٰٓ ءَاثَارِهِمَا قَصَصًا

“Nabi Musa berkata: “Itulah (tempat) yang kita cari.” Lalu keduanya kembali mengikuti jejak mereka semula. (64)”

Setelah mendapati ikan sudah tiada dan mendengar cerita tersebut, Nabi Musa memutuskan untuk berpatah kembali.

Kelebihan ilmu menunjukkan kebesaran-Nya

فَوَجَدَا عَبْدًا مِّنْ عِبَادِنَآ ءَاتَيْنَٰهُ رَحْمَةً مِّنْ عِندِنَا وَعَلَّمْنَٰهُ مِن لَّدُنَّا عِلْمًا

“Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami yang telah Kami berikan rahmat dari sisi Kami dan yang telah Kami ajarkan ilmu dari sisi Kami. (65)”

Apabila tiba di tempat yang dikehendaki, mereka berjumpa dengan orang yang disebut oleh Allah S.W.T yang lebih berilmu. Kebanyakan ulama’ bersepakat bahawa orang yang dimaksudkan itu ialah Nabi Khidir. Nabi Khidir dikurniakan rahmat iaitu ilmu Ladunni (ilmu yang diperoleh secara langsung daripada Allah melalui ilham). Berbeza dengan wahyu, wahyu hanya diperoleh oleh Nabi dan Rasul. Manakala ilham diperoleh oleh orang-orang biasa. 

Sesetengah orang dapat menafsir sesuatu hal dengan jelas walaupun ia tidak dijumpai di dalam mana-mana kitab. Sebab Allah membuka hatinya. Ulamak-ulamak Tasawuf amat menekankan soal pembersihan hati melalui zikir, taubat dan munajat. Hati ialah ibarat cermin yang menghadap Luh Mahfuz. Semakin jernih cermin, semakin banyak ilmu yang bakal diperoleh:

قَالَ لَهُۥ مُوسَىٰ هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰٓ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا

“Nabi Musa berkata kepada Nabi Khidir: “Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu?” (66)”

Nabi Musa memberitahu kepada Nabi Khidir bahawa dia datang untuk belajar. Nabi Khidir menjawab bahawa Nabi Musa sudah pun memiliki banyak ilmu. Ilmu yang dimilikinya tiada pada Nabi Khidir dan ilmu yang dimiliki oleh Nabi Khidir juga tiada padanya. 

Ini menunjukkan bahawa masing-masing ada kelebihannya. Tiada manusia yang sempurna. Ada kelebihan dan ada juga kekurangan. Ilmu yang kita ada hanyalah sedikit. Sehinggakan Nabi Musa pernah bertanya kepada Allah tentang ilmu-Nya, masih banyakkah ilmu yang belum diajarkan kepadanya. 

Lalu, Allah menyuruhnya agar pergi ke laut dan menadahnya dengan kedua-dua tapak tangan. Air yang melekat di tangan itulah melambangkan ilmu yang ada padanya manakala air di laut melambangkan ilmu-Nya. 

Oleh itu, janganlah kita berasa berbangga dengan ilmu yang kita miliki kerana hakikatnya adalah ada perkara yang kita tidak ketahui. Almarhum Tok Guru Nik Aziz semasa hidupnya sentiasa membaca dan semasa beliau mengerjakan umrah, setelah selesai menunaikan solat, beliau akan singgah di kedai kitab dan membelek-beleknya. 

Allah ada menyebut di akhir surah ini, sekiranya diambil kesemua air lautan dan dijadikan sebagai dakwat untuk menulis ilmu-ilmu-Nya, nescaya apabila dakwat itu sudah habis, ilmu-Nya itu masih tidak kehabisan [2].

Bersabar dalam menuntut ilmu

قَالَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِىَ صَبْرًا

“Dia menjawab: “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersamaku. (67)”

وَكَيْفَ تَصْبِرُ عَلَىٰ مَا لَمْ تُحِطْ بِهِۦ خُبْرًا

“Dan bagaimana kamu akan dapat sabar atas sesuatu yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu?” (68)”

قَالَ سَتَجِدُنِىٓ إِن شَآءَ ٱللَّهُ صَابِرًا وَلَآ أَعْصِى لَكَ أَمْرًا

“Nabi Musa berkata: “Insya-Allah, kamu akan mendapati aku sebagai orang yang sabar dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusan pun.” (69)”

Dalam sejarah, Nabi Musa merupakan seorang yang perkasa dan berani. Semasa kecil, Baginda pernah mengangkat kerusi Firaun sehingga Firaun jatuh. Baginda juga pernah menampar orang sehingga orang itu meninggal dunia [3].

Nabi Musa berjanji bahwa Baginda akan bersabar. Baginda menyangka bahawa Nabi Khidir bimbang akan Baginda tidak menuruti arahan. Hakikatnya hal-hal yang akan berlaku adalah melibatkan perbuatan-perbuatan Nabi Khidir yang pada pandangan orang biasa pun tidak boleh diterima dan akan mempertikainya: 

قَالَ فَإِنِ ٱتَّبَعْتَنِى فَلَا تَسْـَٔلْنِى عَن شَىْءٍ حَتَّىٰٓ أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْرًا

“Dia berkata: “Jika kamu mengikutiku, maka janganlah kamu menanyakan kepadaku mengenai sesuatu apa pun, sampai aku sendiri menerangkannya kepada kamu.” (70)”

Nabi Khidir mengizinkan Nabi Musa mengikutinya namun ada syarat yang telah ditetapkan. Syaratnya adalah jangan mempersoal apa-apa pun dan membantah ketika melihatnya berbuat sesuatu. Ini merupakan antara adab yang ditekankan ketika belajar. Jangan mendahului guru. Meminta izin jika hendak bertanya. 

Nabi Khidir membocorkan perahu

فَٱنطَلَقَا حَتَّىٰٓ إِذَا رَكِبَا فِى ٱلسَّفِينَةِ خَرَقَهَا قَالَ أَخَرَقْتَهَا لِتُغْرِقَ أَهْلَهَا لَقَدْ جِئْتَ شَيْـًٔا إِمْرًا

“Maka berjalanlah keduanya hingga tatkala keduanya menaiki perahu, lalu Khidir melubanginya. Nabi Musa berkata: “Mengapa kamu melubangi perahu itu yang akibatnya kamu akan menenggelamkan penumpangnya? Sesungguhnya kamu telah berbuat sesuatu kesalahan yang besar.” (71)”

Pada awal perjalanan, mereka bertemu dengan sebatang sungai. Terdapat seorang pemuda yang sedang mengayuh perahu lalu berhenti untuk menumpangkan Nabi Khidir kerana mengenalinya. 

Setelah menaiki perahu itu, belum tiba lagi di destinasi, Nabi Khidir pun menebuk perahu itu sehingga berlubang. Nabi Musa amat terkejut dengan perbuatan tersebut lalu bertanyakan sebab berlaku sedemikian:

قَالَ أَلَمْ أَقُلْ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِىَ صَبْرًا

“Dia (Khidir) berkata: “Bukankah aku telah berkata: “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama dengan aku?” (72)”

قَالَ لَا تُؤَاخِذْنِى بِمَا نَسِيتُ وَلَا تُرْهِقْنِى مِنْ أَمْرِى عُسْرًا

“Nabi Musa berkata: “Janganlah kamu menghukum aku kerana kelupaanku dan janganlah kamu membebani aku dengan sesuatu kesulitan dalam urusanku.” (73)”

Nabi Khidir membunuh seorang anak muda

فَٱنطَلَقَا حَتَّىٰٓ إِذَا لَقِيَا غُلَٰمًا فَقَتَلَهُۥ قَالَ أَقَتَلْتَ نَفْسًا زَكِيَّةًۢ بِغَيْرِ نَفْسٍ لَّقَدْ جِئْتَ شَيْـًٔا نُّكْرًا

“Maka berjalanlah keduanya; hingga tatkala keduanya berjumpa dengan seorang anak muda, maka Khidir membunuhnya. Nabi Musa berkata: “Mengapa kamu membunuh satu jiwa yang bersih, tanpa sebab dia membunuh orang lain? Sesungguhnya kamu telah melakukan suatu yang mungkar.” (74)”

Kemudian setelah tiba di seberang sungai, mereka berjalan kaki bagi meneruskan perjalanan. Kemudian, mereka bertemu dengan kanak-kanak yang sedang bermain. Nabi Khidir mengambil salah seorang daripada mereka lalu membunuhnya. Nabi Musa terkejut lagi:

قَالَ أَلَمْ أَقُل لَّكَ إِنَّكَ لَن تَسْتَطِيعَ مَعِىَ صَبْرًا

“Nabi Khidir berkata: “Bukankah sudah kukatakan kepadamu, bahawa sesungguhnya kamu tidak akan mampu sabar bersamaku?” (75)”

قَالَ إِن سَأَلْتُكَ عَن شَىْءٍۭ بَعْدَهَا فَلَا تُصَٰحِبْنِى قَدْ بَلَغْتَ مِن لَّدُنِّى عُذْرًا

“Nabi Musa berkata: “Jika aku bertanya kepadamu tentang sesuatu setelah (kali) ini, maka janganlah kamu membenarkan aku menyertaimu, sesungguhnya kamu sudah cukup memberikan keuzuran padaku.” (76)”

Setelah dua kali Nabi Musa menyoal tindakan Nabi Khidir, Baginda meminta maaf dan menyatakan hasrat untuk memutuskan persahabatan sekiranya Baginda menyoal lagi selepas itu. 

Dalam satu riwayat, apabila Nabi S.A.W membaca kisah ini, Baginda menyebut yang bermaksud, “Semoga Allah merahmati Nabi Musa.” [4]. Sebab jika tidak kerana kegopohannya, sudah tentu Nabi Khidir akan menunjukkan banyak lagi perkara-perkara yang pelik. 

Nabi Khidir membetulkan dinding rumah

فَٱنطَلَقَا حَتَّىٰٓ إِذَآ أَتَيَآ أَهْلَ قَرْيَةٍ ٱسْتَطْعَمَآ أَهْلَهَا فَأَبَوْا۟ أَن يُضَيِّفُوهُمَا فَوَجَدَا فِيهَا جِدَارًا يُرِيدُ أَن يَنقَضَّ فَأَقَامَهُۥ قَالَ لَوْ شِئْتَ لَتَّخَذْتَ عَلَيْهِ أَجْرًا

“Maka keduanya berjalan hingga tatkala keduanya sampai kepada penduduk suatu negeri, mereka berdua meminta dijamu oleh penduduk negeri itu, tetapi penduduk negeri itu tidak mahu menjamu mereka, kemudian keduanya mendapati (di negeri itu) dinding rumah yang hamper roboh, maka Nabi Khidir menegakkan dinding itu. Nabi Musa berkata: “Jikalau kamu mahu, nescaya kamu dapat meminta imbalan untuk itu.” (77)”

قَالَ هَٰذَا فِرَاقُ بَيْنِى وَبَيْنِكَ سَأُنَبِّئُكَ بِتَأْوِيلِ مَا لَمْ تَسْتَطِع عَّلَيْهِ صَبْرًا

“Nabi Khidir berkata: “Inilah perpisahan antara aku dengan kamu; aku akan memberitahukan kepadamu tujuan perbuatan-perbuatan yang kamu tidak dapat bersabar terhadapnya. (78)”

Mereka meneruskan lagi perjalanan memasuki sebuah kampung. Adab apabila ada orang-orang yang bermusafir, tuan rumah perlu melayani selama tiga hari tiga malam. Namun, tiada seorang pun yang mahu menerima kedatangan mereka. 

Kemudian, Nabi Khidir terlihat satu dinding rumah yang hendak roboh. beliau pun membaikinya. Nabi Musa berasa hairan lagi sebab orang kampung tidak sudi menerima mereka tetapi Nabi Khidir pula sibuk membaiki dinding itu. Jadi Nabi Musa berfikir bahawa sepatutnya mereka mengambil upah membaikinya. 

Sudah masuk kali ketiga Nabi Musa menyoal tindakan Nabi Khidir. Akibat Baginda melanggar janji, maka sudah tamatlah persahabatannya dengan Nabi Khidir. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 1 Mei 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan.HARAKAHDAILY 1/5/2023

Rujukan: 

[1] Hadis Sahih riwayat Imam Bukhari, no Hadis 3402.
[2] Surah al-Kahfi, ayat ke-109.
[3] Surah al-Qasas, ayat ke-15.
[4] Hadith Sahih riwayat Imam Bukhari, no. Hadis 122.

- Advertisement -