Rumah terbuka 6 negeri bertentangan dasar jimat cermat

- Advertisement -

ALOR SETAR: Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Kerajaan Persekutuan di enam negeri lebih kepada mengambil kesempatan untuk berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan itu juga bertentangan dengan pendirian jimat cermat yang pernah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini.

- Advertisement -

“Saya tidak menghalang untuk mengadakan rumah terbuka kepada orang ramai, tetapi sebagai kerajaan yang bercakap berkenaan langkah jimat cermat, tak perlulah buat program besar-besar, nampak bertentangan dengan pendirian mereka sendiri.

“Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri itu memadai diadakan di satu tempat sahaja seperti di Seri Perdana seperti kelaziman sebelum ini.

“Tetapi kali ini buat di enam negeri, jadi saya boleh tafsir tidak lain daripada itu, melainkan untuk kempen pilihan raya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama mahasiswa di Seri Mentaloon, petang semalam.

Baru-baru ini, Perdana Menteri memberitahu bahawa majlis Hari Raya Malaysia Madani akan diadakan di enam negeri, yang akan bermula di Kedah.

Muhammad Sanusi berkata, kementerian yang diamanahkan untuk mengurus program berkenaan dipercayai tidak mempunyai bajet untuk majlis besar seperti itu.

Oleh itu, katanya terpulang kepada rakyat untuk menilainya adakah wajar menggunakan dana kerajaan untuk kempen pilihan raya untuk parti yang diwakili mereka.

Beliau berkata, ini berbeza dengan PAS yang menggunakan dana dan premis parti untuk program seumpama itu, sama ada di peringkat pusat, negeri dan kawasan.

“PAS buat ‘open house’ di Kompleks PAS Batu 9, tak guna dana kerajaan. 100 peratus dana parti dan menggunakan premis parti. Berbeza PAS dengan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH),” katanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2023

- Advertisement -