4 bulan selepas madani dilancar menteri disiasat SPRM

- Advertisement -

KATA orang lama seperti enau dalam belukar. Apa maksudnya. Masing-masing mahu melepaskan diri dengan berlumba sesama sendiri. Kalau dalam bahasa politik menggambarkan perlumbaan bagi mendapat tempat.

- Advertisement -

Mungkin sedikit sebanyak ia menggambarkan apa yang berlaku sekarang. Biarpun kerajaan sekarang digelar sebagai Malaysia Madani, namun ia kelihatan sukar mempertahankan tatakelolanya.

Ketika kempen pilihan raya kita boleh menjanjikan apa sahaja. Ketika berada di saf pembangkang, macam-macam idea muncul. Apa yang dibuat kerajaan serba serbi tidak kena.

Biarpun slogan madani kelihatan cantek dan hebat, namun rohnya tidak menjalar kepada semua pendukung. Asasnya kerana perbezaan ideologi dan pegangan agama.

Biarpun bergabung atas nama perpaduan, namun ia sekadar kulit dan tidak menjalar ke urat saraf. Ikatan atas nama perpaduan masih lompang tanpa ada roh agama.

Inilah yang membezakan kerajaan Madani dengan Membangun Berssama Islam (MBI). Ketika dasar MBI dicetus ia dirangkum sekali dengan penghayatan ubudiyah, masuliyah dan itqan. Diringkas dengan sebutan UMI. Itu kerangka asas.

Ubudiyah menekankan tentang sifat manusia sebagai hamba kepada Allah. Maka setiap perbuatan seharian manusia hendaklah selari dengan syariat yang diturunkan oleh Allah. Ia berasas keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.

Masuliyah pula prinsip berkaitan integriti dan tanggungjawab. Setiap perbuatan dan pekerjaan manusia adalah berkaitan dengan soal dosa dan pahala.

Manakala itqan menekankan kepada akhlak dan amalan soleh. Setiap manusia perlu bersungguh-sungguh, tekun dan memberi komitmen dalam melaksanakan tugas.

Maka prinsip UMI yang diterap di Kelantan sejak lebih 30 tahun mempertahankan rekod integriti. Dalam tempoh itu tiada pemimpin kerajaan negeri dihadap digeledah SPRM atas kesalahan rasuah atau seleweng dana awam.

Malah pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan di Kelantan mencatat banyak rekod kecemelangan perkhidmatan awam di peringkat persekutuan.

Ketika dasar MBI dicetus pada awal 199-an ia dibincang panjang lebar cendikiawan Islam dan ulama. Hasilnya meresap ke dalam jiwa, bukan sekadar sebutan di mulut.

Islam Hadhari vs Malaysia Madani

Inilah yang membezakan di antara MBI dan Malaysia Madani. Begitu juga ketika Islam Hadhari dicetus Pak Lah pada 2003.

Islam Hadhari juga cuba digambarkan sebagai tamadun, bandaraya moden dan semasa (contemporary).

Dr Ahmad Atory Hussain menulis umat Islam dituntut hidup dalam suasana semasa, maju, moden, berilmu, berakhlak mulia, bersikap adil dan sebagainya yang mengikut ajaran Islam.

Mesej Islam Hadhari yang mahu disampaikan Abdullah Badawi iaitu keimanan dan ketaqwaan kepada Ilahi, kerajaan adil dan beramanah.

Selain itu rakyat berjiwa merdeka, penguasaan ilmu pengetahuan, pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif, kehidupan berkualiti, pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita.

Turut menyentuh keutuhan budaya dan moral pemeliharaan alam semulajadi dan kekuatan pertahanan. Lihat REKAYASA – Journal of ethics, legal and governance 5 Vol. 2, 2006 (1 – 10) 1.

Hasilnya tidak ke mana-mana. Sebaliknya, kerajaan BN di bawah Pak Lah hilang majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum 2008. Maknanya Islam Hadhari sekadar syok pada sebutan, sedangkan rohnya tidak nampak.

Kita bimbang retorika slogan era Pak Lah berulang semula sekarang. Begitu juga Malaysia Madani yang diperkenalkan 19 Januari lepas.

Anwar Ibrahim memperkenalkan ‘Malaysia Madani’ dengan enam teras utama. Teras tersebut iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Sekarang cuba jengok semula antara MBI, Islam Hadhari dan Malaysia Madani. MBI masih utuh sehingga selepas dirintis Tok Guru Nik Abdul Aziz pada awal 1990-an. Ia terus kekal dan menjadi dasar kerajaan Kelantan sehingga sekarang.

Islam Hadhari sudah lama tidak kedengaran. Ia seperti tenggelam. Impaknya pengaruh Pak Lah dan BN merosot dalam arus perdana politik Melayu-Islam.

Sekarang kita tengok sejauh mana pula kehadiran Malaysia Madani. Masih mahu mengulang citra tamadun Islam di Madinah seperti Islam Hadhari. Namun, roh penghayatan dalam kalangan pendukung kerajaan agak longgar.

Hanya empat bulan selepas Malaysia Madani dilancar, seorang menteri PH dipanggil SPRM. Sebelum ini media melaporkan pegawai menteri terbabit ditahan SPRM.

Ia dikaitkan dengan dakwaan bertindak sebagai runner bagi mengutip rasuah daripada ejen-ejen tertentu yang diberi kuota pengambilan pekerja asing.

Nah, sekarang pembaca dapat memahami dasar mana yang ada roh Islami. Maka tidak pelik kalau ramai berangap Malaysia Madani bakal menjejaki Islam Hadhari. – HARAKAHDAILY 19/4/2023

- Advertisement -