KUALA LUMPUR: Ramadan sudah hampir masuk minggu terakhirnya, namun golongan peniaga bazar Ramadan mengeluh kerana hasil jualan mereka yang tidak memberangsangkan, susulan kesan kenaikan kos bahan mentah makanan.
Muhammad Suhaimi Ahmad, antara seorang daripada peniaga di Bazar Ramadan Wangsa Melawati, di sini, mengakui bahawa perniagaan di lokasi tersebut sempena Ramadan pada tahun ini amat berbeza berbanding tahun sebelumnya.
Bukan sahaja menghadapi kekurangan pembeli, dia mengeluh kerana kenaikan harga barangan mentah memberi impak terhadap kos juadah makanan iftar yang dijualnya, ditambah dengan harga sewa tapak bazar Ramadan tersebut yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.
“Bila sewa tapak sudah mahal dan barang mentah pun mahal, maka modal perniagaan juga akan semakin mahal,” katanya ketika ditemui HarakahDaily petang semalam.
Peniaga berusia 43 tahun itu berkata, itulah punca yang menyebabkan kebanyakan peniaga kecil bazar Ramadan sepertinya tidak mampu untuk menjual produk jualan masing-masing dengan harga yang lebih murah dan berpatutan.
“Impaknya, pelanggan juga akan menjadi terkesan daripada kenaikan harga jualan makanan iftar tersebut,” jelasnya.
Seorang lagi peniaga kecil bazar Ramadan, pesara kerajaan, Mahyuddin Yeop Ibrahim, 76, turut menghadapi masalah yang sama.
“Mana-mana pasar Bazar Ramadan dan Pasar Tani pun sama sahaja, semuanya harga barang semakin lama semakin tidak stabil,” katanya.
Dia turut memberitahu bahawa apa yang diuar-uarkan kerajaan seperti kestabilan harga barangan ternyata berbeza dengan realiti sebenar yang dilalui oleh peniaga-peniaga kecil seperti dirinya.
“Saya sendiri yang berniaga air tebu pula mendapati tebu naik harga dari RM20 ke RM25 satu ikat dan bukan sekadar tebu sahaja, malah kelapa pun naik harga,” ujarnya.
Mahyuddin turut menyatakan bahawa walaupun dia mempunyai wang persaraan kerajaan sebanyak RM2,000 sebulan tetapi ia masih tidak cukup dan menyebabkannya dia terpaksa berniaga di bazar Ramadan dengan anaknya.
“Kita pergilah ke mana-mana bazar Ramadan dan pasar tani sekali pun, ia tetap perkara sama iaitu harga barangan semua mahal,” dedahnya.
Seorang lagi peniaga kecil, Rosna Mansur, 70, turut tidak terkecuali menghadapi kesukaran dalam menjalankan perniagaan di bulan Ramadan tahun ini.
“Sekarang ini, bila berniaga sudah tidak macam dulu lagi, tak balik modal dan jika pulang modal pun hanya sekadar mencukupkan apa yang kita keluarkan modal sahaja,” katanya kepada HarakahDaily.
Peniaga tersebut menambah bahawa wangnya sebanyak RM300 yang digunakan bagi membeli bahan-bahan mentah untuk membuat juadah jualan iftar seperti kuih-muih juga sudah tidak mencukupi.
“Kalau dulu dengan RM300 sudah boleh beli barang-barang sudah cukup satu troli, tetapi sekarang sudah tidak cukup lagi dah,” keluhnya. – HARAKAHDAILY 14/4/2023