FSA2 KWSP bukan cagaran: Jangan tambah hutang

Ahmed Razman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penjelasan yang dibuat Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP) bahawa Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) lebih kepada akaun sokongan bagi mendapatkan pinjaman bank, bukan ‘lesen’ untuk orang ramai menambah hutang.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam Persidangan Dewan Negara semalam mengenai akaun FSA 2 KWSP yang dikatakan bukan bersifat cagaran kepada pihak bank tetapi sebaliknya akaun sokongan.

- Advertisement -

“KWSP mempunyai akta yang tersendiri dalam sistem kewangan negara ini yang ada menyatakan bahawa pihak ketiga seperti bank tidak dibenarkan untuk mengambil wang caruman ahli dari akaun KWSP itu sendiri,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa jika kerajaan menjadikan akaun tersebut sebagai cagaran, maka akta KWSP itu sendiri perlu dipinda.

“Oleh sebab itu, rakyat kena faham betul-betul bahawa KWSP menggunakan wang akaun FSA2 ini sebagai sokongan dan bukannya cagaran untuk pihak bank,” jelasnya kepada HarakahDaily.

Namun Ahmed Razman tidak menafikan bahawa sebelum ini Perdana Menteri,  Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menyebut akaun FSA2 KWSP yang dikatakan adalah  untuk dijadikan sebagai cagaran hutang.

“Akan tetapi, selepas itu KWSP telah membuat kenyataan media bahawa akaun tersebut hanyalah akaun sokongan sebagai pembetulan kepada kenyataan Perdana Menteri pada hari yang sama,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa jika mana-mana pencarum KWSP yang membuat pinjaman bank gagal membayar tepat pada masanya secara bulanan, pihak bank hanya boleh mengenakan tindakan undang-undang.

“Dengan kata lain, pihak bank tidak boleh mengambil duit akaun KWSP pencarum tersebut sebagai cagaran dalam mana-mana pinjaman bank sekalipun,” ujar beliau.

Walau bagaimanapun, beliau turut memberi amaran tegas agar orang ramai tidak menjadikan kenyataan terbaharu tentang FSA2 KWSP itu sebagai ‘lesen’ untuk menambah segala hutang.

Ini  kerana tindakan tersebut juga akan merugikan pencarum KWSP itu sendiri. Nasihat saya kepada rakyat, jangan sesekali menambah lagi apa-apa hutang walau apa pun.

“Sebab dalam setiap krisis kewangan yang terjadi termasuklah sekarang ini, hutang-hutang tersebut yang akan menyebabkan diri sendiri ditimpa pelbagai lagi masalah sedia ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/4/2023

- Advertisement -