Tahap kebolehpasaran graduan UMK 90 peratus

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bagi menjamin tahap kebolehpasaran graduan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan tujuh syarikat gergasi.

- Advertisement -

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ts Dr Arham Abdullah berkata, MoU yang dilakukan melalui Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan UMK akan memberi manfaat kepada 2,700 penuntut di bawah tiga pengkhususan iaitu Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Perlancongan, Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Hospitaliti dan Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Kesejahteraan.

Katanya, kerjasama strategik tersebut melibatkan pelaksanaan Program Apprentice 3U1I iaitu tiga tahun pendidikan secara teori di universiti dan setahun latihan praktikal di industri.

“Program bermula tahun 2019 dengan 16 penuntut menjalani latihan di Gerbang Alaf Sdn Bhd (McDonalds) dan telah tamat pengajian masing masing. Mereka terus diserap bekerja di syarikat terbabit,” ujarnya pada sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani MoU di UMK Kampus Kota, di sini, semalam.

MoU itu diadakan antara tujuh syarikat ternama antaranya Sunway Theme Parks, Skytrex Sdn Bhd, Holiday Villa Hotels & Resort Sdn Bhd serta Hotel Seri Malaysia.

Dr Arham berkata, program terbabit memasuki fasa dua dengan 90 penuntut kini sedang menjalani latihan industri.

Katanya, berbanding tempoh asal empat bulan, penuntut yang menjalani latihan industri selama setahun berkelebihan mendapat keyakinan tinggi daripada pihak majikan sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan UMK.

Menurut beliau, kerjasama terbabit memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak di mana majikan memperoleh tenaga kerja dalam kadar bayaran elaun serendah RM500 sehingga RM1,000 sebulan.

“Manakala penuntut pula mendapat kepakaran bagi memantapkan kemahiran sebelum graduasi,” katanya.

Katanya juga sehingga sekarang UMK sudah melaksanakan 141 MoU dan memorandum perjanjian (MoA) dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Sambungnya lagi, UMK mempunyai 12,000 penuntut dan kebolehpasaran graduan berada pada tahap 90 peratus setiap tahun.

“Ketika ini, permintaan pihak hotel semakin meningkat selepas pandemik Covid-19 dan akan memberi peluang lebih cerah kepada para graduan,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/4/2023

- Advertisement -