PADA malam Selasa yang lalu, umat Islam dikejutkan dengan tindakan biadap dan ganas polis rejim zionis Israel yang menceroboh masuk ke pekarangan Masjid Al Aqsa termasuk di dewan solat Al Qibli di dalam Masjid Al Aqsa.
Jemaah warga Palestin yang sedang beribadah dihamburkan dengan tembakan peluru getah termasuk dilepaskan bom asap dan stun granade.
Tidak sekadar itu, mereka turut dicederakan, dipukul dengan baton dan senjata anti rusuhan sehingga mengakibatkan lebih kurang 12 jemaah warga Palestin cedera dan dianggarkan lebih 400 jemaah lagi ditahan.
Lebih menambahkan kemarahan umat Islam ialah perlakuan biadap dan ganas ini dilakukan di bulan Ramadhan. Sehingga semalam, sudah tiga kali polis rejim zionis Israel bertindak sedemikian sehingga memaksa kumpulan pejuang Palestin bertindakbalas dengan serangan roket dari Gaza dan Lubnan.
Sejarah dan jenayah pencerobohan Masjid Al Aqsa
Sepanjang setengah abad ini tidak kurang daripada 30 jenayah yang dilakukan oleh rejim zionis Israel dan ekstremis zionis yahudi terhadap Masjid Al-Aqsa. Di antara jenayah tersebut ialah:
– Pada 7 Jun 1967 Jeneral Mordechai Gur bersama-sama dengan ketumbukan tenteranya bertindak menceroboh Masjid Al-Aqsa dan mengangkat bendera Israel di atas kubah batu, kemudian membakar mushaf-mushaf Al-Quran, menghalang umat Islam solat di dalamnya dan merampas kunci-kunci masjid dari penjaganya.
– Pada 21 Ogos 1969 seorang ekstremis yahudi, Dennis Micheal Rohan yang berasal dari Australia bertindak membakar Masjid Al-Aqsa. Tindakannya itu menyebabkan sebahagian besar dari Masjid Al-Aqsa terbakar termasuk Mimbar Salahuddin Al-Ayyubi yang masyhur.
– Pada 28 Januari 1976 Mahkamah Agung negara haram Israel memutuskan bahawa pendatang haram yahudi berhak untuk mengadakan upacara keagamaan di dalam Masjid Al-Aqsa.
– Pada 28 Ogos 1981 ditemui satu terowong yang digali oleh pendatang haram yahudi bermula dari Dinding Buraaq atau Dinding Tangisan sehingga ke bawah Masjid Al-Aqsa.
– Pada 11 April 1982 seorang tentera rejim zionis Israel yang bernama Harry Goldman bertindak menembak membuta tuli ke atas umat Islam yang sedang solat di dalam Masjid Al Aqsa sehingga menyebabkan dua orang gugur syahid dan tidak kurang 60 orang lagi cedera.
– Pada 22 Julai 1982 Yoel Lerner seorang ekstremis pendatang haram yahudi dari kumpulan Kach ditahan kerana merancang untuk mengebom kubah batu Masjid Al-Aqsa.
– Pada 26 Januari 1984 dua orang ekstremis pendatang haram yahudi ditahan kerana merancang untuk mengebom Masjid Al-Aqsa dan ditemui bersama mereka alat peledak dan bom yang begitu banyak.
– Pada 11 Mac 1997 Penasihat Undang-Undang negara haram Israel telah mengizinkan pendatang haram yahudi untuk mengadakan upacara keagamaan di dalam Masjid Al-Aqsa.
– Pada 31 Ogos 1997 terdedah perancangan rejim zionis Israel untuk meroboh binaan dari kerajaan Umawiyyah yang berhampiran dengan Masjid Al-Aqsa bagi meluaskan kawasan untuk pendatang haram yahudi mengadakan upacara keagamaan.
– Pada 28 September 2000 Ariel Sharon, bekas Perdana Menteri negara haram Israel bertindak menceroboh Masjid Al-Aqsa dan tindakannya itu telah mencetuskan intifadhah kedua oleh umat Islam Palestin bagi membela kesucian Masjid Al-Aqsa.
– Pada 29 September 2000 tentera regim zionis Israel bertindak ganas ke atas umat Islam Palestin yang berkubu di dalam Masjid Al-Aqsa sehingga menyebabkan puluhan gugur syahid dan puluhan lagi mengalami kecederaan.
– Pada 9 September 2004 seorang pendita zionis yahudi bertindak mengadakan upacara perkahwinan anaknya di dalam Masjid Al-Aqsa dan ianya dicemari dengan minuman arak yang mencemar kesucian Masjid Al Aqsa.
– Pada 4 April 2005 polis regim zionis Israel bertindak memasang kamera CCTV di seluruh kawasan Masjid Al-Aqsa.
– Pada 8 Februari 2006 Kementerian Pendidikan negara haram Israel bertindak mengedar ribuan gambar pelan pembinaan semula Masjid Al-Aqsa dengan memadamkan gambar Masjid Al-Aqsa dan diletakkan pada tempatnya gambar tempat upacara keagamaan mereka.
– Pada 25 Mei 2010 polis rejim zionis Israel memberikan keizinan kepada pihak pendita di salah satu rumah ibadah mereka untuk mengadakan acara keagamaan sepenuhnya di dalam Masjid Al-Aqsa.
– Pada 20 Disember 2010 seorang ekstremis pendatang haram yahudi telah ditahan di dalam Masjid Al-Aqsa dengan bersamanya bahan letupan kerana merancang untuk mengebom di salah satu bahagian daripada Masjid Al-Aqsa.
– Pada 27 Oktober 2014 Knesset negara haram Israel membincangkan cadangan untuk menarik balik hak Kerajaan Jordan sebagai penjaga Masjid Al-Aqsa.
– Pada 18 Januari 2015 badan wakaf Masjid Al-Aqsa berjaya menggagalkan perancangan beberapa orang pendatang haram yahudi untuk melancarkan serangan ke atas Masjid Al-Aqsa dengan menggunakan pesawat kawalan jauh.
– Pada 11 Februari 2015 penguatkuasa negara haram Israel bandar Jerusalem meletak papan tanda berdekatan dengan Masjid Al-Aqsa dengan menamakan tempat tersebut sebagai ‘Jabal Al-Haikal’ (Bukit Haikal).
– Pada 23 Julai 2015 tentera rejim zionis Israel menghalang kanak-kanak sekolah Palestin untuk mengadakan program kem musim panas di dalam Masjid Al-Aqsa.
– Pada 1 September 2015 tentera rejim zionis Israel menghalang pelajar-pelajar ke sekolah mereka yang terletak dalam kawasan Masjid Al-Aqsa.
– Pada 14 September 2015 tentera rejim zionis Israel bertindak menceroboh Masjid Al-Aqsa dengan menembak peluru getah dan gas pemedih mata ke atas warga Palestin yang sedang solat di dalamnya bertujuan untuk mengosongkannya bagi memberi ruang kepada pendatang haram yahudi untuk memasukinya.
– Pada 21 Jun 2016 ditemui terowong-terowong baharu di sekeliling dan bawah Masjid Al-Aqsa yang digali oleh kumpulan ekstremis pendatang haram yahudi.
– Pada 2 Mei 2017 dua orang tentera rejim zionis Israel menceroboh Masjid Al-Aqsa dan melakukan upacara keagamaan mereka di dalamnya.
⁃ Pada 29 Jun 2017 pihak berkuasa negara haram Israel menutup Masjid Al-Aqsa dan memberi keizinan kepada sekumpulan ekstrrmis pendatang haram yahudi menceroboh masuk ke dalam Masjid Al Aqsa.
⁃ Pada 2 Julai 2017 tentera rejim zionis Israel melarang umat Islam Palestin untuk solat Jumaat di dalam Masjid Al-Aqsa selepas insiden serangan yang mengakibatkan tiga orang pemuda Palestin syahid dan dua orang tentera rejim zionis Israel mati.
⁃ Pada 3 Disember 2017 sekumpulan ekstremis pendatang haram yahudi menceroboh Masjid Al-Aqsa dan berjalan dengan megahnya di dalam kawasan solat di bawah kubah batu.
⁃ Pada 19 Disember 2017 pihak berkuasa negara haram Israel merasmikan kuil baharu yahudi yang dibina di dalam terowong di bawah Masjid Al-Aqsa.
⁃ Pada 21 Januari 2018 sekumpulan ekstimis pendatang haram yahudi mengadakan upacara keagamaan secara terang-terangan di pintu Al-Rahmah (salah satu pintu-pintu Masjid Al-Aqsa) sambil dikawal oleh tentera rejim zionis Israel.
⁃ Pada 9 Mei 2018 tentera rejim zionis Israel memberikan keizinan kepada gadis-gadis pendatang haram yahudi menceroboh Masjid Al-Aqsa dengan memakai pakaian perkahwinan mereka.
⁃ Pada 22 Mei 2018 David Fredman, Duta Amerika Syarikat menerima potret gambar bandar Jerusalem yang diletak gambar ‘Haikal’ yang akan dibina di atas tapak Masjid Al-Aqsa.
⁃ Pada 2 Jun 2019 seramai 1200 orang ekstrimis pendatang haram yahudi bertindak menceroboh Masjid Al-Aqsa dan berlaku pertembungan dengan umat Islam yang sedang beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadhan.
⁃ Pada 15 Ogos 2019 tentera regim zionis Israel menghalang umat Islam Palestin untuk solat di dalam Masjid Al-Aqsa selepas dua orang remaja Palestin menikam polis rejim zionis Israel di mana kedua-dua remaja itu gugur syahid.
Sebenarnya banyak lagi pencerobohan yang dilakukan oleh rejim zionis Israel dan pendatang haram yahudi ke atas Masjid Al Aqsa, begitu juga banyaknya kekejaman yang dilakukan oleh rejim zionis Israel dan pendatang haram Israel ke atas warga Palestin.
Sudah berpuluh tahun segala keganasan dan kekejaman ini diadukan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terutamanya Majlis Keselamatan PBB namun tindakan PBB terutamanya Barat yang mendabik dada sebagai pembela keamanan hanya seperti melepaskan batuk di tangga kerana mereka adalah sekutu tegar kepada regim zionis Israel.
Dunia Islam perlu sedar bahawa harapan yang dilontarkan kepada Barat selama ini untuk membela nasib warga Palestin hanyalah harapan palsu semata-mata. Bukan sahaja Palestin malah hampir keseluruhan rantau Asia Barat berantakan dan berseteru sesama sendiri akibat daripada kepercayaan, harapan dan sandaran kepada Barat yang selama ini “hampir memakan diri sendiri“.
Sampai bilakah lagi Dunia Islam harus berpeluk tubuh membiarkan kekejaman ini terus berlaku? Sudah sampai masanya Dunia Islam bersatu dan berkerjasama bagi membela nasib Palestin dan warganya. Cukuplah sekian lama tertipu dengan sandiwara dan rengekan palsu negara-negara yang berpura-pura mahu membela nasib Palestin dan warganya.
Percayalah, jika Palestin berjaya dibebaskan dari cengkaman dan penjajahan rejim zionis Israel nescaya akan kembalilah keamanan, keagungan dan kegemilangan umat Islam. Jika kesatuan dan perpaduan berjaya disemai kembali dikalangan umat Islam, maka akan gemilanglah kembali OIC dan Liga Arab.
OIC dan Liga Arab harus kembali segar dan bangkit semula menjadi peneraju kepada Dunia Islam. Sudah sampai masanya Dunia Islam bangkit dari lena yang panjang, lena yang hampir melemaskan mereka kerana kini tiba masanya Islam bangkit kembali menjadi kuasa dan peneraju di kalangan umat manusia.
Bebaskanlah Baitul Maqdis dari cengkaman rejim zionis Israel. Semoga Palestin dan warganya berada di dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
“Malaysia Sejahtera”
YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
Adun Batu Buruk – HARAKAHDAILY 8/4/2023